Kiera berusia 27 tahun merupakan salah seorang peserta Clever Girl Malaysia iaitu sebuah rancangan yang disiarkan di saluran TV3.
Menurut laporan mStar Online, TV3 telah pun mengeluarkan kenyataan pada Ahad lalu dengan mengatakan bahawa dakwaan melalui kenyataan asal bekas peserta rancangan tersebut adalah tidak benar sama sekali.
“Pihak TV3 sentiasa mengambil berat tentang integriti rancangan kami dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu dan berunsur fitnah,” kata kenyataan itu.
Kiera dikatakan telah membuat keputusan menarik diri pada Khamis lalu iaitu sehari sebelum siaran langsung rancangan berkenaan disiarkan.
Graduan Sains Kejuruteraan dari Universiti Oxford ini dalam kenyataan awalnya di laman sosial mendakwa, penarikan dirinya adalah disebabkan dia mendapati terdapat unsur-unsur berat sebelah dan soalan bocor dalam pertandingan itu.
Namun kenyataan itu ditarik balik tidak lama kemudian atas alasan dia mempunyai perjanjian dengan TV3 agar tidak memberi sebarang komen terhadap keputusan dibuat.
Netizen pula berpendapat, peserta dari Pulau Pinang ini sebenarnya sering gagal menjawab beberapa soalan diberikan.
Program Clever Girl Malaysia bersiaran secara langsung pada hari Jumaat, pukul 9 malam hingga 10 malam di TV3. - mStar Online