Kamal Adli juara Super Spontan Superstar 2017


PELAKON Kamal Adli diumumkan sebagai juara Super Spontan Superstar 2017, Kamal yang merupakan anggota kumpulan King Musang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000 dan trofi.

Menurut laporan Astro AWANI, gelaran naib johan menjadi milik Fad Bocey sekali gus memenangi wang tunai sebanyak RM50,000 berserta trofi.

Sementara itu, Achey Bocey menduduki tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM25,000 beserta trofi.

Ozlynn, Shuk SYJ, Mamak Puteh, Shahrol Shiro dan Sharif Zero terpaksa berpuas hati berada di tempat keempat, kelima, keenam, ketujuh dan kelapan serta membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 setiap seorang.

Berbeza dengan pentas mingguan yang menyaksikan pertarungan antara kumpulan King Musang dan Tenggiling Taiko, pentas akhir SSS2017 menyaksikan semua peserta bersaing secara individu untuk meraih gelaran juara.

SSS2017 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan Amir Raja Lawak pula bertindak sebagai ‘pengacau’ atau ‘batu api’.

Minggu akhir SSS2017 menampilkan Datuk Chef Wan sebagai komentator jemputan bersama komentator tetap, Datuk Afdlin Shauki.

Pentas akhir SSS2017 turut gamat dengan kemunculan istimewa Jozan sebagai pemain jemputan.

SSS2017 turut dimeriahkan dengan persembahan oleh kumpulan Floor 88.

Pentas akhir SSS2017 bersiaran secara langsung dari Dewan Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada Jumaat bermula jam 10 malam dan ditayangkan serentak menerusi Astro Warna (saluran 132) dan Mustika HD (saluran 134).

Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’. - Astro AWANI