Kredit Photo Harian Metro |
MELAKA – Kehidupan seorang wanita yang dikenali sebagai Ain,
23 menemui jalan buntu apabila dia mendapati dirinya tiada sebarang identiti
mahupun mengetahui asal-usulnya.
Jelasnya, “saya sebolehnya mahu berkeluarga, malah pada
tahun depan saya juga merancang untuk bernikah. Calon suami pun sudah ada, tapi
bagaimana mahu isi borang kalau saya sendiri tiada identiti.”
Ketika ditemui di Bandar Hilir kelmarin, dia berkata, “kalau
boleh saya mahu menjadi warganegara yang sah dan tidak lagi hidup di dalam
ketakutan, namun sampai kini saya tidak tahu asal-usul atau mengenali siapa
wanita yang melahirkan saya.”
Sejak beberapa tahun yang lalu, dia pernah beberapa kali ke
Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) termasuk di Putrajaya untuk memohon MyKad,
namun tidak berjaya kerana tidak ada bukti yang boleh menyokong dia dilahirkan
di negara ini, dakwa gadis itu.
Dia berkata bahawa kehidupannya menjadi rumit dan dia boleh
dilabelkan orang hanyut kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan tiada
mana-mana negara mengiktirafnya sebagai rakyat yang sah.
Ain mendakwa dia membesar di kawasan lorong di Jalan Chow
Kit, Kuala Lumpur. Selepas itu, dia dijaga oleh keluarga angkatnya pada usianya
kira-kira enam tahun dan kemudian dia diserahkan pula kepada sebuah lagi
keluarga lain beberapa tahun kemudian.
“Sepanjang dijaga dua keluarga angkat tersebut yang menetap
di Ampang, Selangor dan Kuala Lumpur, saya tidak pernah menjejakkan kaki ke
sekolah kerana tidak ada nama secara rasmi. Saya juga memang tidak ingat
apa-apa ketika itu.”
Katanya lagi, “Keluarga angkat juga memanggil nama dengan
panggilan Ain, jadi saya anggap itu adalah nama rasmi saya dan umur saya pula
saya agak saja dalam 23 tahun kerana langsung tidak tahu tahun sebenar
dilahirkan.”
Sepanjang dijaga keluarga angkat dia dipaksa melakukan tugas
orang dewasa seperti menjaga bayi, mencucuk sate, menyiang ayam dan ikan serta
menjadi pembantu gerai, katanya.
Semasa kanak-kanak, dia mahu untuk pergi ke sekolah namun
tidak dibenarkank kerana dia tidak memiliki sebarang dokumen kelahiran dan
keadaan itu menyebabkan dia berasa sangat tertekan, jelas beliau lagi.
Ketika dia berumur sekitar 12 atau 13 tahun, dia telah nekad
dengan bertindak melarikan diri dari rumah dan merayau seorang diri sehingga ke
Chow Kit namun beliau bernasib baik kerana dijaga oleh seorang pondan selama
beberapa tahun.
Namun sepanjang tempoh tersebut, dia telah mengambil upah
dengan mencuci pinggan di sebuah restoran mamak, malah dia berasa gembira
kerana diajar membaca dan menulis oleh pondan yang menjaganya.
“Namun selepas itu, saya diminta keluar dari rumah berkenaan
pada ketika itu kerana bimbang ditangkap berikutan menjaga orang hanyut macam
saya. Dengan menggunakan wang simpanan selama bekerja di restoran mamak itu,
saya telah mencari kerja lain dan hidup berdikari sehingga kini.
Katanya, dia pernah mencuba menjejak semula individu yang
pernah menjaganya termasuk pondan tersebut namun gagal kerana rumah yang dia
pernah diami sebelum ini sudah tiada lagi dan sudah dibangunkan menjadi taman
perumahan.
“Namun yang lebih menyulitkan adalah saya tidak tahu siapa
mereka, saya cuma tahu nama panggilan ringkas sahaja dan bukan nama penuh. Sama juga dengan ibu
bapa saya kalau ada rezeki berjumpa dengan mereka saya bersyukur dan kalau
sebaliknya apa boleh buat,” kata gadis itu.
Dalam pada itu, dia juga turut mendakwa telah kerugian
sebanyak RM5,000 kerana ditipu oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai
JPN yang kononnya boleh membantunya bagi mendapatkan MyKad dengan menggunakan
jalan belakang. Sumber: Harian Metro. Edtor: Atila Atasha