Usahawan kosmetik terkenal yang kini bergelar penyanyi, Nur Sajat memberitahu bahawa dia tidak melayan golongan haters yang sering mencuba untuk menjatuhkannya.
Sajat juga menggelarkan golongan hatersnya sebagai penyampai 'santau' di zaman moden.
"Jika pada zaman dahulu, kalau ada yang tidak berpuas hati dengan sesetengah pihak, mereka mempercayai bahawa aktiviti mistik serta boleh menghantar santau seperti santau angin, santau makanan dan sebagainya untuk menjatuhkan seseorang.
"Tetapi zaman sekarang pula, haters yang terdiri daripada golongan keyboard warrior ini menjadi penyampai 'santau' di zaman moden. Tak perlu aktiviti mistik, mereka hanya menggunakan kata-kata kasar dan menyakitkan hati namun tujuannya masih sama untuk menjatuhkan.
Jelas Sajat, "bagi saya, lebih baik jika golongan seperti ini tidak dilayan langsung kerana tidak semua pihak akan berpuas hati dengan apa yang kita lakukan."
Tambahnya lagi, dia lebih mengutamakan perasaan keluarga berbanding kata-kata orang luar yang tidak melalui situasi yang dialami oleh dirinya.
"Saya juga bergaul dengan orang yang positif untuk tidak memikirkan mengenai haters. Mereka yang tidak berpuas hati boleh berkata macam-macam, tetapi ada baiknya jika saya tidak mengambil peduli dan terus melakukan apa yang saya rasakan terbaik.
"Daripada menjaga perasaan orang lain, ada baiknya jika keutamaan diletakkan kepada perasaan keluarga. Lebih baik saya menjaga perasaan famili berbanding mengambil kisah mengenai kata-kata nista orang luar yang bergelar haters," kata penyanyi lagu Abang Nak Tegur. Sumber: Astro Gempak. Editor: Atila Atasha.