Ini Yang Perlu Anda Lakukan Jika Kereta Anda Dilanggar Dari Belakang.


Kebanyakan orang pasti akan menjadi panik sekiranya kereta yang dipandu mereka dilanggar dari belakang.

Apabila sudah panik emosi pasti sudah tidak stabil dan terjadinya pergaduhan dan amukan sehingga ada yang cedera parah dan terjadinya kes polis.

Di sini terdapat beberapa tips yang boleh membantu yang dikongsi oleh seorang peguam menerusi laman facebook sekiranya berhadapan dengan situasi kemalangan terutamanya apabila kenderaan dilanggar dari belakang.

Yang pertama adalah sekiranya kereta anda dilanggar dari belakang, jangan panik dan bawa bertenang kemudian berhentikan kereta anda di kawasan lapang dan selamat bagi mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas.

Selepas kereta yang melanggar anda tadi juga memberhentikan kenderaannya, anda harus keluar dari kereta dengan membawa telefon bimbit yang mempunyai kamera.

Jangan sesekali membawa barang yang merbahaya atau peralatan yang diperbuat daripada besi kerana anda boleh dituduh cuba melakukan kecederaan kepada orang lain.

Seterusnya, ambil gambar plat dan cukai jalan kenderaan yang melanggar kenderaan anda itu.

Kemudian, tegurlah pemandu kenderaan yang langgar anda tadi dengan baik dan janganlah terus memaki hamun.

Kebiasaannya dalam situasi begitu masing-masing akan cuba menyalahkan antara satu sama lain, jadinya bagi mengelakkan pergaduhan tanyalah dengan baik mengapa dia melanggar kenderaan anda.

Cuba untuk mengawal kemarahan dan jangan bertengkar kerana perkara itu tidak akan menyelesaikan masalah, malah keadaan itu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Cuba untuk meminta kad pengenalan dan lesen memandunya dengan cara yang baik dan ambil gambar.

Sekiranya dia tidak mahu mengaku bersalah, beritahu kepadanya dari segi undang-undang sesuatu kenderaan yang melanggar kenderaan lain daripada belakang, kecuaian adalah disebabkan oleh kenderaan yang melanggar itu.

Setelah dia mengaku bersalah, minta dia menanggung kos pembaikan kereta anda tetapi bukan dengan cara meminta wang, terus mengajaknya ke bengkel untuk menilai berapakah nilai kerosakan kereta anda.

Selain itu juga, jangan lupa untuk mengambil nombor telefonnya untuk mudah menghubunginya nanti.

Sekiranya dia berkeras tidak mahu mengaku bersalah, jangan terus menyerang malahan biarkan sahaja dia pergi kerana anda telah mengambil maklumat kenderaannya dan terus pergi buat laporan polis.

Selepas selesai membuat laporan polis, bawa laporan tersebut pergi ke jpj dan lakukan carian kenderaan untuk mengetahui syarikat insurans yang melindungi kenderaan tersebut.

Sekiranya anda sudah mengetahui syarikat insurans kenderaan yang melanggar anda, terus pergi berjumpa dengan panel syarikat tersebut dan minta mereka uruskan tuntutan pihak ketiga untuk membaiki kerosakan kereta anda tersebut.

Ini adalah antara tips yang boleh dilakukan dan ianya sangat mudah serta tidak perlu bergaduh kerana ia boleh menjatuhkan maruah apabila ramai orang menyaksikan pergaduhan anda.

Selain itu, perkara itu juga boleh mendedahkan anda kepada perlakuan jenayah kerana tidak mematuhi undang-undang.

Negara Malaysia mempunyai undang-undang yang telah ditetapkan dan harus dipatuhi. Editor:Farhana