Mayat Anggota Polis Wanita Yang Sarat Mengandung 9 Bulan Ditemui Mati Diruang Tamu


Mayat seorang anggota polis yang sarat mengandung ditemui dalam sebuah kuarters perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Kelantan pada Khamis 1 Februari.

Anggota polis yang dikenali sebagai Siti Khalijah Zainal Abidin, 30, berpangkat Lans Koperal itu ditemui oleh rakannya dan dipercayai telah meninggal dunia lebih 12 jam sebelum ditemui.

Mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak sebelah kanan dan difahamkan turut menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Bayi dalam kandungan mangsa yang berusia 9 bulan dan dijangka akan dilahirkan pada 9 Februari itu juga turut maut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa daripada seorang polis wanita yang berusia 30 tahun dan merupakan rakan serumahnya sekitar jam 8 malam.

Ketika arwah menghembuskan nafas terakhirnya dia tidak bertugas kerana cuti dan tinggal berseorangan di rumah, manakala rakannya itu pulang ke rumah keluarga di Kota Bharu.

Pada pukul 8 malam pada hari penemuan mangsa, rakan serumahnya itu pulang dan melihat Siti Khalijah sedang terbaring tidak sedarkan diri di atas lantai ruang tamu.

Mohd. Taufik berkata, jenazah telah dibawa ke Hospital Gua Musang sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu bagi tujuan bedah siasat.

Hasil laporan perubatan mendapati mangsa meninggal akibat mengalami pendarahan dalam otak.

Arwah dipercayai sudah bertugas di IPD Gua Musang hampir 10 tahun turut meninggalkan seorang lagi anak lelaki berusia 6 tahun, Irfan Rafiqi Maarof dan suami, Maarof Aman yang juga seorang anggota polis.

Arwah dikebumikan di kampung halaman ibunya di Mentakab, Pahang. Editor:Farhana