Tampil menjawab segala persoalan yang timbul itu, pelakon Fazlina Ahmad Daud menegaskan bahawa dia bertindak sedemikian adalah bagi memastikan penyanyi itu nampak bagus apabila drama arahan dan terbitan Erma Fatima ditayangkan nanti.
Rata-rata peminta penyanyi lagu Ku Rela Dibenci itu meluahkan rasa marah terhadap insiden yang dialami oleh penyanyi kesayangan mereka.
Dalam pada masa yang sama, ini adalah kali pertama Aiman menceburkan diri sebagai pelakon dan khabarnya pihak pengurusan penyanyi itu meluahkan rasa tidak puas hati dan mahu mengambil tindakan atas apa yang berlaku.
Fazlina juga turut menyatakan hal yang sama dan dia menjelaskan sekiranya pihak pengurusan Aiman tidak berpuas hati dan mahu buat laporan polis membabitkan isu ‘lempang’ di lokasi terbabit, dia akan mengaku sepenuhnya kepada mereka.
Namun, dia cuma berasa sangat kecewa apabila ramai pihak mengecamnya tanpa mengetahui situasi sebenar sehingga memberi kesan emosi kepada keluarga terutama anak-anaknya.
“Saya bukan lempang Aiman sewaktu ambil ‘mood’ dan saya tidak ajar dia berlakon. Sebaliknya apa berlaku adalah dalam rakaman babak.”
“Itupun saya buat guna teknik memandangkan dia sudah tidak punya ‘tenaga’ untuk mengeluarkan perasaan sepatutnya,” katanya lagi.
Dalam pada itu Fazlina yang merupakan adik kepada seniwati Fauziah Ahmad Daud (Ogy) juga turut menyatakan bahawa babak itu hanya boleh dilakukan sekali sahaja kerana ‘prop’ gitar mahu dipecahkan hanya ada satu.
“Situasinya? Berjaya atau gagal. Dua kamera digunakan pakai tangan dan bukan tripod. Bayangkan betapa susahnya babak dilaksanakan dan saya harus memastikan ia berjaya. Saya harus jaga dialog saya dan Aiman, begitu juga perasaan yang harus dizahirkan.”
“Sebagai orang baru saya tidak boleh bergantung kepada Aiman untuk jaga ‘blocking’. Saya harus berfikir pantas. Saya guna teknik sentuh pipi dan tolak muka untuk babak lempang itu. Bunyi datang dari paha yang saya tepuk memang buat dia terkejut,” ujarnya lagi.
Sebaik sahaja melihat Aiman berada dalam situasi betul, Fazlina mengakui dia mula melakukan provokasi dan memegang mukanya agar kamera dapat mengambil gambar dekat ketika air matanya menitis pada ketika itu.
“Selepas babak selesai saya bantu dia supaya faham dan memohon maaf. Aiman berterima kasih kerana tidak sangka ia membuatnya menangis.”
“Saya puji dia orang baru berbakat. Saya jelaskan apabila babak itu disiarkan nanti orang akan suka dan sayang dia dan akan membenci saya. Tapi belum pun drama itu disiarkan orang sudah benci.”
Tambah Fazlina lagi, selepas insiden itu segalanya berjalan dengan baik malah termasuk hari ini apabila dia ada beberapa babak yang memerlukan dia untuk bersama Aiman lagi.
Selain itu, Fazlina juga turut menyatakan bahawa keluarga Aiman masih lagi mempunyai hubungan yang baik dengannya dan turut memahami situasi yang berlaku.
“Kedua ibu bapanya sendiri sangat baik dan berterima kasih kepada saya kerana membantu Aiman. Saya sendiri secara peribadi menghormati semua pihak. Namun apabila ada yang tidak faham dan menjadikan isu terutama membabitkan perasaan anak-anak saya berasakan ia perkembangan tidak sihat,” katanya lagi. Sumber: Harian Metro, Editor: Maya