NEW DELHI: Kerana kecuaian kakitangan di sebuah hospital, seorang wanita telah kehilangan seorang bayi yang dikandungnya.
Wanita terbabit dikatakan kehilangan bayi dalam kandungannya selepas dia dibiarkan berseorangan tanpa pengawasan daripada mana-mana kakitangan hospital selama berjam-jam.
Berdasarkan laporan daripada media tempatan, kejadian tersebut telah mencetuskan kemarahan orang ramai dan kejadian itu dipercayai telah berlaku di sebuah hospital di daerah Chhatarpur yang terletak di Madhya Pradesh.
Dalam pada itu, wanita terbabit yang terpaksa menunggu masa untuk bersalin hanya dibiarkan begitu sahaja kerana difahamkan kesemua kakitangan hospital sedang sibuk menyambut ketibaan pegawai kesihatan yang mahu melakukan pemeriksaan di hospital tersebut.
Namun apa yang lebih menyedihkan adalah wanita malang itu hanya dibiarkan terbaring di atas lantai hospital sehinggakan tiada siapa yang memperdulikan nasibnya.
"Dia menangis kerana menahan kesakitan dan merayu diberi bantuan, namun petugas tidak mempedulikannya kerana mereka mahu menyambut ketibaan seorang pegawai kesihatan," menurut seorang saksi yang kebetulan berada di tempat kejadian.
Peristiwa memalukan itu dipercayai sempat dirakam dan menjadi tular di media sosial sehingga orang ramai mendesak kakitangan hospital terbabit dikenakan tindakan undang-undang yang setimpal dengan perbuatan mereka.
Setakat ini, pihak hospital dikatakan masih lagi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai peristiwa itu dan tiada sebarang tindakan yang diambil terhadap kakitangannya. Sumber: Times of India, Editor: Maya