Penemuan Mayat Lelaki Dalam Longkang Akhirnya Terjawab


Semalam tular di laman facebook mengenai penemuan mayat lelaki yang ditemui dalam sebuah longkang bersama motosikalnya di Taman Daya berdekatan Lebuhraya Pasir Gudang.

Sejurus menerima maklumat pada 10.56 pagi semalam, pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan penyelamat Tebrau bergegas ke lokasi bagi membantu pihak polis mengangkat mangsa keluar dari longkang tersebut.

Mangsa Mohamad Fakruddin Mohd A'asari ditemui di lokasi pada jam 10.14 pagi bersama motosikalnya.

Difahamkan, sebelum penemuan mayat itu satu laporan polis dibuat mengenai kehilangan mangsa yang dibuat oleh rakan serumahnya di Balai Polis Tampoi pada 10.48 malam, 18 Mac kerana tidak pulang kerumah sejak sehari sebelum laporan itu di buat.

Pencarian mangsa turut dibuat melalui laman facebook oleh rakan-rakannya namun persoalan mereka terjawab apabila tular penemuan mayat mangsa dan motosikalnya di dalam longkang.

Pihak polis telah mengesahkan motosikal yang ditunggang mangsa terbabas dengan sendiri bukan kerana langgar lari.

Siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 17 Mac lalu dan dipercayai motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Taman Perling ke Taman Johor Jaya.

Setibanya di susur menghala Taman Johor Jaya dan di persimpangan susur naik ke Taman Daya, mangsa terbabas dan terjatuh ke dalam longkang di sebelah kanan jalan.

Orang ramai yang menemukan mangsa menghubungi Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah JBS untuk menjalankan siasatan.

Berikutan dari penemuan mayat mangsa berkenaan, waris mangsa membuat pengecaman identiti mangsa setelah dibedah siasat di Hospital Sultan Ismail.

Berikutan kejadian itu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 dan RM20,000 jika disabit kesalahan. Sumber:Eberita , Editor:Anna