Selepas lebih daripada 34 jam hilang ketika urusan ikat jaminnya berlangsung dan menyebabkan pihak polis cuba mengesannya, Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos akhirnya muncul, menjanjikan pihak berkuasa kerjasama penuh dirinya.
Dalam rakaman yang dihantar kepada pemberita pada awal pagi ini, Jamal menafikan melarikan diri dari hospital semasa keluar ketika prosiding ikat jamin mahkamah, malah menganggap kejadian itu berlaku kerana salah faham.
Jamal mendakwa bergegas meninggalkan kawasan hospital itu pada Jumaat lalu kerana pergi ke Tabung Haji disebabkan anggapannya tempoh tahanan remannya telah berakhir.
Beliau berkata ke Tabung Haji untuk mengeluarkan wang yang diperlukan bagi perbelanjaan ikat jamin dan kos berkaitan kes tersebut.
Jamal juga berkata memandangkan dia tidak begitu sihat, dia memutuskan untuk berehat sementara waktu, walaupun menerima panggilan memaklumkan pihak polis sedang mengesannya.
Jamal juga berjanji akan menghadirkan diri ke balai polis tetapi tidak memaklumkan waktunya.
Jamal didapati menghilangkan diri semasa prosiding mahkamah di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, yang mana dia ditahan tetapi hilang semasa proses ikat jamin dua hari lepas.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat, pemimpin 'gerakan baju merah' itu didakwa oleh seorang majistret di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, yang mana dia ditahan tetapi hilang semasa proses ikat jamin.
"Dia meninggalkan hospital semasa proses dokumentasi untuk ikat jamin.
"Kami akan mencarinya (segera) untuk menyelesaikan proses itu," kata Fadzil.
Percubaan menghubungi Jamal untuk mendapat maklum balas tidak berjaya manakala akaun WhatsAppnya menunjukkan dia tidak aktif sejak 10 Mei lalu.
Jamal sedang menerima rawatan kerana sakit belakang di hospital berkenaan.
Jamal, 48, didakwa di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda RM400 jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Jun depan sebagai sebutan kes di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Dalam kejadian 5 Oktober tahun lalu itu, Jamal dikatakan mengetuai bantahan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ (BBF17) di hadapan pejabat pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
Selasa lalu, Jamal turut ditahan di hospital sama bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960 selepas terdapat laporan terhadapnya yang dikatakan senjaga mempamerkan senjata apinya.
Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor pada 12 Mei lalu berkata, laporan polis dibuat berhubung gambar tular yang memaparkan seorang lelakan mirip Jamal dengan gambar tersisip di pinggang.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan daripada gambar berkenaan sama ada ia senjata betul atau palsu. - Malaysiakini