Kediaman bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur terus sibuk sehari selepas pihak polis merampas wang tunai, barangan kemas dan beg tangan dari sebuah unit kondo yang dikaitkan dengan beliau.
Sekitar jam 9.30 malam tadi, empat kereta polis tiba di rumah Najib.
Menurut pegawai polis yang bertugas di luar rumah Najib, rombongan polis itu termasuklah Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul, Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) IPD Sentul, Abdul Malik Hasim.
Kira-kira 10 minit kemudian, Najib pulang ke rumahnya selepas berbuka puasa bersama ibunya Tun Rahah Mohamad Noah. - Malaysiakini