Assalamualaikum Tun, Semoga Tun sentiasa berada dalam keadaan sihat dan sejahtera. Tahniah Tun kerana berjaya menumbangkan kerajaan BN dalam PRU 14, dan menjadi PM Malaysia buat kali kedua.
Sesungguhnya, kemenangan ini adalah kejayaan terbesar buat Tun dan Pakatan Harapan mengangkat ‘suara rakyat’ demi kemajuan negara.
Buat makluman Tun (selaku PM Malaysia), surat ini ditulis khusus tentang isu pendidikan negara.
Ada tiga penambahbaikan boleh dilaksanakan pihak kerajaan, yang datang dari suara hati rakyat sendiri.
(1) Bersihkan universiti daripada ‘profesor kangkung’.
Umum mengetahui, universiti-universiti di Malaysia sekarang ini dipenuhi oleh sebahagian ahli akademik bergelar ‘profesor kangkung’.
Apa itu ‘profesor kangkung’? Ia adalah ahli akademik yang berat sebelah, mengampu pemimpin dan berdiam diri apabila kepimpinan negara berbuat salah.
Tidak perlu ambil contoh jauh, dalam program Wacana Sinar Harian 2018: “Apakah Tun M terlalu tua untuk jadi PM?”, Dr Kamarul Zaman Yusoff tidak habis-habis mengutuk Tun dan mengampu kepimpinan BN.
Apabila Tun membuat kejutan dan hadir ke wacana tersebut, maka nampak gagapnya beliau menyatakan hujah. Adakah ini wajah ahli akademik yang ingin kita lahirkan di Malaysia?
Sewaktu Malaysia ke arah era baru kini, kita memerlukan ahli akademik yang tidak berat sebelah, dan berani menegur kepimpinan negara.
Sewaktu saya mengambil ijazah sarjana Sains Politik di UKM pada tahun 2015, saya masih ingat lagi ketika dipanggil oleh pihak universiti dan sebahagian pensyarah kerana mengkritik kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Mereka meminta saya untuk menarik balik kritikan terhadap Datuk Seri Najib. Bagaimanapun, saya enggan berbuat demikian kerana yakin kebenaran pasti akan muncul juga.
Sejujurnya, jauh di sudut hati, saya merasa amat sedih dan kecewa dengan sikap tersebut. Ini kerana ahli akademik yang sepatutnya menjadi medium check and balance, menjadi diam dan membisu.
Di universiti, naib canselor juga perlu dilihat semula adakah mereka ini menjadi pengampu kerajaan semata-mata atau benar-benar ingin membawa perubahan kepada sistem pendidikan negara.
Adalah lebih malang, profesor-profesor atau ahli akademik yang hanya pandai mengampu di TV, tetapi tidak mampu menyumbang ilmunya untuk pembangunan minda masyarakat.
Berubahlah segera wahai sarjana-sarjana supaya kewujudan anda tidak merugikan wang rakyat dan negara.
Jika perkara ini dibiarkan berterusan, impian Malaysia bagi menduduki ranking institusi pendidikan antara terbaik di dunia masih sukar dicapai.
Negara Malaysia memerlukan ahli akademik yang berhujah bertunjangkan ilmu dan kebenaran, bukan atas kepentingan semata-mata.
(2) Penekanan kepada subjek perniagaan dan pengurusan kewangan.
Kenapa subjek perniagaan dan pengurusan kewangan? Ini kerana banyak ‘sifat-sifat positif’ dapat dipelajari dari subjek ini, dan diterapkan dalam kehidupan.
Menyingkap sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW (sebagai tokoh paling berpengaruh di dunia) juga menjalankan perniagaan ketika muda.
Dengan berniaga, ia mengajar kita supaya ‘buang’ sikap berputus asa, sentiasa tekun dalam pekerjaan dan mempunyai strategi yang baik dalam mencapai impian.
Contoh pelajaran yang dapat diterapkan adalah daripada Robert Kiyosaki, pakar pengurusan kewangan.
Dalam bukunya, Rich Dad Poor Dad, Robert menyatakan ‘ilmu kewangan yang tepat adalah kunci utama kekayaan semua orang’.
Ini kerana tanpa pengurusan ilmu kewangan yang betul, sukar untuk seseorang itu boleh menjadi kaya (melainkan diperoleh dengan wang curi).
Dengan ilmu perniagaan, seseorang itu juga boleh menjadikan perniagaan sebagai medium untuk menambah aset sendiri.
Dalam hal ini, ada yang mengatakan bukan semua pelajar Malaysia ingin menjadi usahawan. Mereka hanya mampu bekerja makan gaji semata-mata.
Bagaimanapun, ilmu ini sekurang-kurangnya dapat dijadikan sebagai pelan kecemasan jika dibuang kerja dan sebagainya.
Melihat kepada orang Cina, budaya berniaga sinonim dengan bangsa mereka. Seharusnya, anak-anak di Malaysia yang lain juga perlu ditanam budaya ini dalam diri mereka.
(3) Wujudkan 'council of elders' bagi sistem pendidikan negara.
Council of elders bagi sistem pendidikan negara adalah amat signifikan untuk ditubuhkan. Mereka yang terdiri daripada para pakar akademik mampu memberi buah fikir dan idea bernas tentang masa depan sistem pendidikan negara.
Sarjana-sarjana seperti Prof Diraja Ungku Aziz, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, Prof Sivamurugan Pandian, Prof Emiritus Tan Sri Khoo Kay Kim dan Dr Maza perlu diangkat bagi membawa wajah baru dalam institusi pendidikan negara.
Council of Elders ini juga perlu dikeluarkan dari Majlis Profesor Negara, dan dibina khusus bagi memacu sistem pendidikan.
Ini kerana ‘sistem pendidikan’ adalah akar kepada cabang-cabang institusi lain. Apabila dunia keilmuan ini diberi perhatian, maka sejak dari kecil lagi anak-anak kita di Malaysia dapat dibentuk minda dan sahsiah mereka.
Semoga bawah kepimpinan Tun, masa depan sistem pendidikan di Malaysia dapat dipacu dengan lebih sejahtera.
Akhir kata, kita bukanlah hendak melahirkan golongan penghafal ilmu semata-mata, akan tetapi apa yang hendak kita lahirkan adalah golongan pemikir yang baik dan dapat menyumbang kepada negara pada masa akan datang. Terima kasih Tun.
MUHAMMAD EFFENDI ISMAIL ialah pelajar ijazah Doktor Falsafah (Sains Politik), Universiti Malaya (UM). Sumber: Malaysiakini.