Hal itu dimaklumkan oleh anaknya, Marina Mahathir, melalui satu entri di akaun Facebook.
Kata Marina, semenjak kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ibu bapanya menerima banyak kiriman, antaranya bunga, makanan dan hadiah-hadiah lain.
Biarpun kesemua pemberian itu sangat dihargai, namun ia perlu dihentikan kerana bukan sahaja ia menyalahi undang-undang yang dibuat PH, tetapi juga jumlah yang terlalu banyak menyukarkan mereka untuk menguruskannya.
"Satu, undang-undang PH tidak membenarkan ahli politik menerima hadiah selain daripada bunga dan makanan. Kedua, walaupun mereka menghargai setiap pemberian, tetapi hadiah yang terlalu banyak menyukarkan penyimpanan.
"Kedua-dua mereka tidak akan berpindah ke Seri Perdana sebaliknya akan terus tinggal di rumah sekarang, tetapi di situ ruangnya tidaklah seluas mana dan sukar untuk menyimpan hadiah-hadiah itu.
"Jadi ibu meminta agar mereka yang mahu mengirim hadiah, memberikannya kepada pertubuhan kebajikan. Itu akan menggembirakannya," tulis Marina. - Astro AWANI