Ahli Perniagaan Umum Cabar Zahid Jawatan Presiden UMNO


Seorang ahli perniagaan, blogger dan penganalisis bebas politik, Rahmat Azim Abdul Aziz menawarkan diri bertanding jawatan presiden Umno.

Menurut laporan Malaysiakini, Rahmat Azim Abdul Aziz, atau lebih dikenali sebagai @MatUmno di Twitter, menghantar borang pencalonannya kepada Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.

"Saya rasa Umno perlukan nafas baru untuk terus ke depan.

"Kegagalan pemimpin terdahulu perlu diambil kira untuk memastikan survival Umno," katanya yang merupakan anggota Umno Bahagian Kota Raja, seperti dipetik.

Setakat ini, hanya Rahmat yang mengemukakan cabaran buat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan tertinggi itu.

Kebanyakan pemimpin kanan parti itu memilih untuk bertanding jawatan timbalan atau naib presiden.

Sebelum ini, beberapa nama disebut untuk bertanding kerusi presiden, antaranya tokoh veteran Tengku Razaleigh Hamzah, Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad bagaimanapun telah mengesahkan bertanding untuk jawatan timbalan, manakala Ku Li dan Mustapa masih belum membuat apa-apa pengumuman.

Rahmat berkata beliau yakin Umno mempunyai pemimpin muda yang berwibawa dan bersih yang mampu mengembalikan kekuatan parti itu.

"Maka saya menggesa mereka untuk berani ke depan dan bersama saya memimpin Umno, yang akan lahir semula dengan kekuatan dan semangat baru," katanya lagi seperti dipetik.