Kes Hina Agong, Hishammuddin Rais Beri Keterangan


Aktivis sosial, Hishamuddin Rais yang didakwa memuat naik artikel berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di blognya, hadir di Balai Polis Sri Petaling di sini bagi memberi keterangan malam ini.

Peguamnya, Zaid Malek, mengesahkan perkara itu.

"Ya betul. Saya akan mengeluarkan kenyataan setelah proses ini selesai," katanya.

Difahamkan, Zaid menemani Hishamuddin ke balai polis itu kira-kira 10.30 malam ini setelah berhubung dengan pihak polis yang menyiasat dakwaan tersebut.

Hari ini, lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan terhadap Hishamuddin yang didakwa memuat naik artikel berbaur hasutan terhadap Sultan Muhammad V di blognya, semalam.

Hishamuddin didakwa memuat naik artikel itu di blognya www.tukartiub.blogspot.com.

Bagaimanapun, Hishamuddin difahamkan memadamkan kenyataan itu selepas salinan tangkapan skrin mengenainya tersebar di laman sosial.

Sementara itu dalam laporan polis yang dibuat, Hishamuddin menafikan tuduhan berkenaan kerana blog berkenaan telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media Malaysia (SKMM)

Beliau percaya blog berkenaan digodam bertujuan untuk memfitnahnya.

Semalam pendedahan yang dibuat oleh Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin di dalam blog peribadinya mengenai perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V disifatkan sebagai satu penghinaan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, penghinaan ini tidak sepatutnya dilakukan kepada sesiapa pun lebih-lebih lagi kepada pemimpin negara.

"Setiap orang mempunyai maruah dan kita tidak sepatutnya menghina antara satu sama lain.

"Kalau ada kesilapan kita tegur dengan cara penuh berhemah dan bertata susila," katanya ketika ditemui selepas program World #QuranHour (WQH) di Masjid Al- Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini hari ini.

Menerusi catatan blog peribadinya, Kadir mendakwa Sultan Muhammad V membelanjakan kira-kira RM257 juta dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, purata RM16 juta sebulan dibelanjakan antaranya ke atas penginapan, kediaman, barangan peribadi, pesawat, pengangkutan, pakaian Agong, hadiah dan cenderamata, kunjungan luar negara serta gaji kakitangan istana.

Kadir berkata, jumlah yang dibelanjakan untuk perbelanjaan Agong menunjukkan raja Melayu tidak memerlukan jaminan kedudukan mereka tidak terjejas