Polis Terkejut Rupa- Rupanya Orang Yang Pecah Rumah Jamal Adalah???


Polis menahan dua individu disyaki terbabit dalam kes pecah rumah kediaman Datuk Seri Jamal Md Yunos yang terletak di Ampang Jaya dekat sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, berkata kedua-dua suspek adalah pengawal peribadi kepada Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu.

"Suspek pertama ditahan di Paroi, Negeri Sembilan, kira-kira jam 2 pagi kelmarin, manakala seorang lagi suspek ditahan kira-kira jam 6.30 petang semalam di sebuah lokasi di Ampang Jaya.

"Kedua-dua suspek masing-masing berusia 29 tahun dan 25 tahun itu bertugas sebagai pengawal peribadi Jamal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kedua-duanya kini direman tujuh hari sehingga 27 dan 28 Jun depan dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan empat penjenayah mengambil kesempatan memecah masuk kediaman Jamal yang 'menghilangkan' diri sejak 25 Mei lalu.

Antara barangan dicuri penjenayah terbabit ialah tiga unit telefon bimbit, 20 beg tangan dan 20 cermin mata pelbagai jenama, selain dua dekoder kamera litar tertutup (CCTV).

Jamal dilaporkan menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri selepas menjalani rawatan sakit belakang.

Jamal kemudian mendakwa berlaku salah faham berhubung proses ikat jaminnya yang dilakukan di hospital itu dan menyangka proses berkenaan sudah selesai sebelum beredar keluar untuk ke Tabung Haji bagi mengeluarkan wang.

Polis sudah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya namun sehingga ke hari ini, usaha mengesan Jamal masih belum berhasil. - Berita Harian Online