Mungkin sudah menjadi kebiasaan buat pengikut yang sering mengikuti perkembangannya tanpa jemu di media sosial untuk menatap gelagat Datuk Seri Vida mendidik anak secara terbuka.
Tetapi dalam keadaan tertentu gelagat itu mungkin tidak dapat diterima segelintir pihak, malah ada yang beranggapan perbuatan Vida - atau nama sebenarnya Hasmiza Othman - lebih kepada mendera.
Tindakan pengasas produk kecantikan itu ke atas Nur Edlynn Zamilleen atau lebih dikenali dengan panggilan Cik B baru-baru ini misalnya mengundang perhatian ramai.
Malah insiden berkenaan turut dilaporkan kepada Jabatan Kabajikan Masyarakat (JKM).
Justeru ia ternyata menimbulkan kegelisahan buat Vida.
“Saya tertekan sebab apa, saya didatangi oleh orang Jabatan Kebajikan Masyarakat sebab saya (dituduh) mendera emosi Cik B.
"Tak ada kena dera pun, ini sekarang tengah main bola,” katanya di Instagram.
Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika Vida cuba melariskan produk baju raya di festival fesyen dan produk kecantikan di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini.
“Masa di Mood Republik (festival fashion dan produk kecantikan) di Pusat Dagangan Dunia Putra.
“Siapa lagi nak bantu saya kalau bukan Cik B,” katanya
Kata Vida, 46, disebabkan perkara itu JKM turut mengadakan lawatan ke kediamannya bagi menyoal Edlynn secara perseorangan.
“Sampai Jabatan Kebajikan Masyarakat datang rumah soal Cik B one to one (berdepan),” katanya.
Vida memang diketahui umum gemar menggalakkan anak perempuannya itu supaya menampilkan diri di khalayak ramai dengan gaya feminin.
Untuk rekod, Vida sering memuat naik klip video ringkas di Instagram menunjukkan beliau menyolek Edlynn dengan produk kosmetik atau cuba menyerlahkan sifat keperempuanan anaknya itu melalui pakaian.
Menurut Vida, walaupun perwatakan Edlynn seperti budak lelaki pada kebanyakan masa, remaja berusia 13 tahun itu sebenarnya pemalu - sesuai dengan sifat yang selalu ada pada mana-mana perempuan.
Justeru, Vida seboleh-bolehnya berusaha mengajar Edlynn untuk bergaul dengan lebih baik dari semasa ke semasa.
“Dia seorang pemalu dan dia bukan macam budak lain kadang-kadang bila ramai-ramai dia OK,” katanya.
Sementara itu, seorang netizen - melalui ruang komen pada status sama dimuat naik Vida - yang menginginkan kepastian mempersoalkan kesahihan mengenai kedatangan JKM.
Dan JKM memuat kenyataan balas dengan mengesahkan kehadiran berkenaan.
“@mr_mff07 memang kami terima aduan melalui Biro Pengaduan Awam,” kata admin @jkmhq - Malaysiakini