Akhirnya Jamal Mengaku Salah Pecahkan Botol Arak Di Hadapan Bangunan (SUK)


Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, Selangor tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Bagaimanapun, prosiding mahkamah ketika ini ditangguhkan seketika bagi menunggu keputusan hukuman dijatuhkan terhadapnya.

Puluhan penyokong Jamal dilihat hadir ke mahkamah hari ini sebaik saja beliau tiba di mahkamah kira-kira jam 9 pagi tadi dari Penjara Sungai Buloh.

Sebelum ini Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar yang menghilangkan diri sejak sebulan lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada 05 Julai 2018 atas pertuduhan melarikan daripada jagaan pihak polis Mei lalu.

Jamal, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia didakwa dengan sengaja telah melepaskan diri daripada jagaan pihak polis yang ditahan secara sah di sisi undang-undang bagi kesalahan yang telah dipertuduhkan iaitu dua kes di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ampang dan satu kes mengikut Seksyen 290 kanun sama di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hospital KPJ Ampang Puteri, dekat sini, antara pukul 2 hingga 3 petang, 25 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini Jamal terpaksa 'menghuni' di Penjara Sungai Buloh sehingga kes yang dihadapinya selesai susulan permohonan jamin ditolak mahkamah.

Jamal berkata, dia tidak mempunyai pengetahuan dalam undang-undang berhubung jaminan selepas dia dituduh di Hospital KPJ Ampang Puteri, 25 Mei lalu.

"Kenapa saya lari? Ini disebabkan pada keesokannya (selepas Jamal lari dari hospital), rumah saya digeledah pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya bimbang dengan keadaan yang berlaku ditambah dengan perubahan politik negara ketika itu," katanya.

Menurutnya, pengalaman melarikan diri dari negara ini ke Indonesia adalah sesuatu yang mengerikan.

"Saya kesal kerana melarikan diri dan berjanji tidak akan melakukannya lagi jika diberikan jaminan.

"Malah, ketika di Sumatera, saya mahu pergi ke kedutaan Malaysia di Jakarta pada minggu ini, namun sebaik tiba di sana, saya terus ditahan," kataya.

Jamal berkata, beliau berjanji akan berhadapan dengan apa saja pertuduhan yang dihadapi untuk membersihkan namanya sebagai pemimpin masyarakat.

Selain itu, Jamal yang sedikit berisi itu sempat mengucapkan 'Selamat Hari Raya' kepada pihak media ketika dalam perjalanan ke bilik mahkamah. - Berita Harian Online