Jamal Kekal Di Penjara Sungai Buloh.


Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini masing-masing menarik balik perintah ikat jamin terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bagi dua pertuduhan menceroboh dua premis perjudian di Taman Kosas, di sini, dua tahun lalu.

Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali dan Haslinda A. Raof membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhashimah Hashim dan Raihanah Abd Razak untuk menarik balik jaminan masing-masing berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan memohon perintah ikat jamin itu ditarik balik kerana khuatir Jamal akan melarikan diri sekali lagi.

Berikutan itu, mahkamah membatalkan jaminan terhadap Jamal bagi kedua-dua kes ceroboh itu dan bagi kes melarikan diri dari hospital, perintah tidak membenarkan Jamal diikat jamin dikekalkan.

Dengan keputusan ini, Jamal, yang hadir ke mahkamah berpakaian kot lengkap dan bersongkok dengan tangan bergari ke belakang serta diiringi anggota polis, kekal ditahan di Penjara Sungai Buloh sehingga kesnya selesai.

Bagi tuduhan menceroboh, Jamal didakwa bersama-sama empat lagi yang masih bebas didapati melakukan pencerobohan di Kedai Happy Toys, No. 23, Jalan Kosas 1/2, Taman Kosas, di sini.

Dia juga didakwa bersama seorang yang telah dituduh dan seorang lagi yang masih bebas melakukan perbuatan sama di Kedai Starcom Trading and Services No. 23&25, Jalan Kosas 13, di taman sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 3.30 dan 3.40 petang, 29 Dis 2016 mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Jamal, yang juga Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, turut didakwa dengan sengaja telah melepaskan diri daripada ja­gaan pihak polis yang menahannya secara sah di sisi undang-undang.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Hospital KPJ Ampang Puteri di sini antara jam 2 dan 3 petang, 25 Mei lalu mengikut Sek­syen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan bagi ketiga-tiga kes tersebut.

Jamal, yang diwakili peguam Khairul Anuar Kashim, mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan itu.

Jamal sebelum ini dikehendaki berhubung dua kes di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ampang dan satu kes lagi mengikut Seksyen 290 kanun sama di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pembelaan ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, memaklumkan pihaknya akan membuat semakan berhubung jaminan terhadap Jamal di Mahkamah Tinggi Shah Alam, esok. – BERNAMA