"Kenapa Perlu Memfitnah Saya" - Zawawi Buat Laporan Polis.


SHAH ALAM - Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni membuat dua laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang berhubung tindakan fitnah yang dilakukan oleh pihak tertentu menjelang hari pengundian PRK Dun Sungai Kandis, Sabtu ini.

Menurut Mohd Zawawi, laporan tersebut dibuat bertujuan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak terlibat yang cuba untuk memburuk-burukkan dan menjatuhkan reputasi beliau sebagai calon.

"Laporan pertama saya adalah berkenaan kes video yang kononnya saya bersetuju dan menyokong tarian gelek sewaktu kutipan Tabung Harapan baru-baru ini.

"Dan laporan kedua pula membabitkan dakwaan saya telah menyalahguna kuasa dan wang sewaktu bertugas di Sekolah Agama Menengah Sultan Hisamuddin Sungai Bertih pada tahun 2008," katanya selepas membuat laporan tersebut.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Zawawi berkata, pihaknya hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas ia mula tersebar melalui media sosial sejak beberapa hari lalu.

Mohd Zawawi berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu malah akaun laman sosial yang digunakan oleh penyebar maklumat tersebut juga adalah palsu.

"Saya akan membiarkan polis untuk menyiasat perkara ini mengikut akta yang bersesuaian.

"Seperti kita sedia maklum, pihak lawan semakin terdesak dan akan membuat dakwaan-dakwaan buruk menjelang hari pengundian," katanya.

Dalam pada itu, peguam Mohd Zawawi, Mohd Khairul Anwar Ismail berkata, laporan tersebut dibuat sebagai pengajaran kepada masyarakat bahawa sistem perundangan negara boleh mengenakan tindakan tertentu kepada mana-mana pihak atas dakwaan fitnah tersebut.

"Langkah ini sebagai pengajaran dan pendidikan kepada masyarakat bahawa tindakan sebegini tidak sepatutnya berlaku," katanya. - Sinar Harian