PAS Dan BN Tak Perlu Bertanding Di DUN Sungai Kandi, Beri Kemenangan Percuma Kepada PH.


Penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff yang pernah tular di media sosial dalam sebuah forum di Sinar Harian  'Apakah Tun M terlalu tua untuk jadi PM?' tampil dengan pandangan supaya PAS dan BN tidak meletakan calon di DUN Sungai Kandis.

Menurut laporan Free Malaysia Today, Penganalisis politik itu berpandangan pembangkang khususnya PAS dan Barisan Nasional (BN) tidak perlu meletakkan calon dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Kandis, sebaliknya memberi kemenangan percuma kepada Pakatan Harapan (PH).

Kamarul Zaman Yusoff berpandangan sedemikian dengan mengambil kira pilihan raya umum ke-14 (PRU14) baru sahaja berlangsung iaitu kurang 3 bulan lalu.

“Sekarang adalah masanya untuk kita menumpukan usaha untuk memulih dan membangunkan negara. Berpolitik ini ada masa dan ketikanya, berpolitik sepanjang masa tidak elok.

“Memberikan kemenangan percuma kepada PH akan mengurangkan pembaziran wang negara,” katanya kepada FMT.

Selain itu, Kamarul berkata faktor ke-2 tidak perlunya PAS dan BN bertanding kerana keputusan sebelum ini membuktikan semua parti pembangkang tidak mempunyai sebarang peluang untuk menang.

Jumlah undian BN, PAS dan PRM di DUN Sungai Kandis, jika digabungkan, bilangan undinya hanya 19,167, jumlah yang masih tidak mampu mengatasi jumlah undian calon PH iaitu 23,998.

“Faktor ke-3, katalah jika ada mana-mana parti pembangkang mampu melakukan keajaiban dengan membuat ‘upset’ mengejut untuk memenangi PRK Sungai Kandis ini sekalipun, keputusan ini tetap tidak akan mampu mengubah apa-apa kerana PH cukup ‘solid’ di DUN Selangor kerana masih menguasai 50 daripada 56 kerusi.

“Faktor ke-4, mengikut sejarah, BN dan PAS sendiri pernah tidak menyertai PRK DUN sebegini atas pertimbangan hampir sama. BN membabitkan PRK Penanti pada 31 Mei 2009 dan PRK Chempaka pada 22 Mac 2015. Manakala PAS membabitkan PRK Batu Talam pada 28 Januari 2007 dan PRK Tanjung Datu pada 18 Februari 2017,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan PRK DUN Sungai Kandis akan diadakan pada 4 Ogos depan berikutan kematian Adun kawasan itu Mat Shuhaimi Shafiei.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 21 Julai ini.

Shuhaimi, bekas setiausaha politik bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggal dunia pada 2 Julai lepas kerana barah limfoma.

Beliau mempertahankan kerusi tersebut dalam PRU 9 Mei untuk penggal ke-3 dengan majoriti 12,480 undi mengalahkan calon BN, PAS dan PRM.

Bagaimanapun Kamarul berkata, PAS, BN dan pembangkang lain mempunyai hak untuk bertanding terutamanya bagi mengukur kekuatan sokongan khususnya undi Melayu.

“Jika benar sokongan pengundi Melayu kepada mereka meningkat, ini akan mereka gunakan untuk menekan PH dari segi perlaksanaan dasar.

“Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, menyatakan PAS akan bertanding jika BN tidak meletakkan calon. Jadi jika BN tidak meletakkan calon sekalipun, PH tidak akan diberi laluan percuma dan ini tidak boleh dihalang kerana ia dibenarkan oleh undang-undang, juga di atas hujah untuk meraikan demokrasi.

“Jika ini berlaku, mungkin boleh diukur sejauh mana kesediaan penyokong dan pemimpin BN, khususnya Umno, untuk bekerjasama dengan penyokong dan pemimpin PAS,” katanya. - Free Malaysia Today