GONCANG pintu pagar rumah, melastik rumah penduduk, malah mengugut mahu menghantar 'hantu' kepada mereka yang cuba menghalang perbuatannya.
Itu sikap pelik lelaki yang dikesan sering menganggu ketenteraman awam di kawasan perumahan di Senadin, Miri, sejak awal minggu ini.
Ketua Sukarelawan Jawatankuasa Penduduk Penduduk (JKP) Miri, Malateh Mahmud berkata, perbuatan lelaki itu yang ternyata menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan penduduk setempat berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV), kelmarin.
Menurutnya, hasil rakaman mendapati lelaki berusia lingkungan 20-an itu dilihat menggoncang pintu pagar rumah dan dan melastik rumah penduduk sehingga menimbulkan kebimbangan komuniti setempat.
"Anggota JKP Miri kemudiannya ke lokasi pada 10.25 malam dan mendapati lelaki terbabit masih berada di kawasan perumahan itu. Bila dihampiri, lelaki terbabit bertindak agresif dan mengancam mahu menghantar 'hantu' kepada mereka yang menghampirinya," katanya.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki terbabit dipercayai kurang siuman.
"Sebagai langkah keselamatan, pihaknya akan membuat aduan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri untuk tindakan sewajarnya," katanya. - Harian Metro