Ketagihan Seks Dan Alkohol Mel B Ke Pusat Pemulihan


JURI America's Got Talent Melanie Brown atau lebih dikenali sebagai Mel B berterus-terang bahawa dia mengalami ketagihan alkohol dan seks.

"Dalam masa enam bulan, kehidupan sangat sukar buat saya. Saya akan minum bagi melupakan masalah dan mententeramkan jiwa," kata Mel B kepada The Sun, semalam.

Katanya, dia perlu mencari bantuan kerana keadaannya sudah kritikal.

"Tidak ada yang lebih mengenali saya kecuali diri sendiri.

"Saya akan berusaha mengatasinya dan akan mengikuti program terapi," katanya yang akan ke pusat pemulihan bermula September ini.

Mel B berkata, dia tidak malu untuk menceritakan masalah mental yang dialaminya.

"Setidak-tidaknya, masalah yang dialami ini dapat menjadi inspirasi kepada orang lain untuk berubah sama seperti saya.

"Lagipun, saya pasti ramai yang mempunyai masalah seperti ini," katanya.

Katanya, dia bertekad menjadi lebih baik demi tiga anaknya, Phoenix, 19, Angel, 11, dan Madison yang berusia enam tahun.

Sementara itu, dia juga memberitahu mengalami masalah kewangan selepas bercerai dengan penerbit muzik, Stephen Belafonte sejak Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, dia turut memaklumkan sedang membuat buku biografi bertajuk Brutally Honest dengan seorang penulis.

Penulisan dalam buku itu memerlukan dia mengingat kembali masa lalunya yang penuh liku.

"Saya sangat trauma apabila perlu mengingat kembali masalah yang berlaku dalam hidup," kata penyanyi berusia 43 tahun itu. - Harian Metro