Punca Pemandu RapidKL Langgar Lebih 10 Buah Kenderaan


Pemandu sebuah bas henti-henti yang disyaki cuba melarikan diri daripada satu kemalangan di hadapan Bangunan Risda di Jalan Ampang bertindak merempuh beberapa buah kenderaan dengan bas yang dipandunya sehingga rosak teruk dalam kejadian kira-kira 8 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata pemandu bas berkenaan dipercayai memandu dalam keadaan berbahaya dan melanggar kenderaan bermula dari hadapan Bangunan Risda di Jalan Ampang menghala ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Pemandu tersebut dikenali sebagai Md Khairol Anuar Mohamad, 32 tahun, berasal dari Pasir Puteh, Kelantan, yang cedera di bahagian kepala dan berada dalam keadaan separa sedar susulan kejadian itu.

Zulkefly berkata bas berkenaan hanya berhenti kira-kira dua kilometer kemudian di MRR2 manakala pemandunya yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.


"Semua mangsa yang terlibat kini dalam proses membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Zulkefly berkata, kemalangan berlaku lebih kurang pukul 8.30 malam dan bas tersebut telah merempuh lima buah kereta berhampiran Ampang Point.

Ia dikatakan bergerak dalam keadaan melulu dan melanggar sebuah kereta Toyota Vios sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan jenis Toyota Innova.

Ia kemudiannya terus bergerak menghala ke susur Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan melanggar kereta Perodua Alza yang menyebabkan kereta tersebut melambung dan masuk ke dalam parit di kiri jalan.

Bas itu terus bergerak dan melanggar kereta Perodua Myvi sebelum melanggar sebuah kereta Proton Saga.

Menurut polis, sebelum kejadian di Jalan Ampang itu, bas tersebut terlibat dalam satu kemalangan lain di persimpangan lampu isyarat AU Keramat.


Ia telah melanggar dua buah kereta dan melarikan diri menerusi Jalan Jelatek dan sampai ke tempat kejadian yang kedua.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dilakukan oleh pihak polis berhubung sama ada terdapat penumpang dalam bas berkenaan.

"Kita percaya bas itu melanggar banyak kereta, mana-mana pemilik kenderaan yang dilanggar sedang dalam proses membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.

Video berdurasi 1 minit 37 saat yang memaparkan kejadian berkenaan mula tular di media sosial. - Bernama