SUHU panas sehingga mencecah 38 darjah Selcius sejak kebelakangan di Pantai Barat Sabah dipercayai punca seorang wanita hanya memakai seluar dalam bikini bersama baju kemeja-T lengan panjang merah jambu di pekarangan sebuah pusat beli-belah di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Gambar wanita dipercayai pelancong asing itu tular di aplikasi WhatsApp sejak awal minggu ini dan mendapat ‘perhatian’ terutama lelaki yang memberi komen dalam nada bergurau ‘adakah Sabah terlalu panas’ ketika ini.
Selain itu, ada yang memberi komen ia adalah trend dengan berjalan memakai seluar dalam ketika di bawah panas terik.
Difahamkan, gambar itu dirakam ketika wanita itu berjalan dengan seorang lelaki, namun sehingga kini ia hanya tular di WhatsApp tetapi belum ada laporan berhubung dengannya.
Ada juga yang menyatakan kerana terdapat pulau berhampiran bandaraya Kota Kinabalu, yang terletak kira-kira 15 minit menggunakan bot laju, kemungkinan wanita itu baru balik dari salah satu pulau berkenaan.
Sebelum ini, terdapat pelancong asing barat yang berpakaian seumpama itu dilihat di sekitar jeti Jesselton Point apabila mereka keluar dari pulau terbabit.
Sementara itu, tinjauan di laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapati purata suhu di Sabah antara 33 hingga 38 darjah Selcius dan hujan tidak turun selama dua minggu pertengahan bulan ini.
Namun cuaca mula hujan dalam sehari dua pada minggu ini, yang membantu mengurangkan bahang panas. - Harian Metro