Undi MCA Di Balakong Sebab Mereka Rakyat Malaysia


Jika alasan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya anggota parti mengundi calon MCA pada pilihan raya kecil (PRK) di kerusi DUN Balakong adalah atas "semangat pembangkang" hari ini, setiausaha Majlis Syura Ulama parti itu memberi hujah yang berlainan.

Datuk Dr Nik Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) ketika membahaskan usul Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) di Dewan Rakyat, berkata, walaupun MCA menentang hukum hudud, sokongan kepada parti Cina itu dibuat kerana mereka adalah "rakyat Malaysia".

"PAS kalau bekerjasama dengan MCA, Umno (sebab) mereka adalah rakyat Malaysia.

"Berbanding dengan di sebelah sana (kerajaan) yang bekerjasama dan bekerja dengan rakyat asing, IRI (International Republican Institute)," katanya ketika menjawab soalan Cha Kee Chin (HARAPAN-Rasah).

Nik Zawawi dipercayai merujuk kepada kenyataan Presiden IRI, Daniel Twining yang mendakwa usaha pertubuhannya untuk "mengukuhkan" parti pembangkang di Malaysia sudah berjalan sejak 2002.

IRI merupakan badan gabungan dengan Parti Republikan di Amerika Syarikat dan merupakan salah satu daripada kumpulan yang didanai oleh National Endowment for Democracy (NED) yang mendapat dana daripada Kongres AS.

Chen bertanya mengenai pendirian PAS pada PRK DUN Balakong yang dilihat bersedia menjalinkan kerjasama dengan MCA meskipun parti itu sebelum ini dengan lantang menolak usul Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 berkaitan hukum hudud yang dibawa PAS.

MCA selama ini konsisten secara terbuka menolak RUU berkenaan yang ingin meningkatkan hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah.

Abdul Hadi, malam semalam meminta anggotanya mengundi MCA atas semangat pembangkang.

Isu kerjasama antara MCA itu timbul selepas Nik Zawawi dalam ucapannya sebelum itu mengkritik tindakan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia susulan, terdapat beberapa pemimpin dalam HARAPAN yang pernah mengkritik perdana menteri berkenaan.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan bagi menyokong hujah Nik Zawawi agar Akta Antiberita Tidak Benar tidak dimansuhkan.

"Akta antiberita palsu ini sangat efisien dan lebih baik untuk sistem perundangan dalam negara.

"Saya amati ucapan-ucapan yang disebut oleh wakil daripada kerajaan seperti wakil Port Dickson (Danyal Balagopal Abdullah) - (mansuh akta berkenaan) untuk lahirkan rakyat berani tegur kerajaan, pemimpin.

"Apa cerita dulu sebahagain pemimpin yang komen Langkawi (Dr Mahathir) berapi-api, macam-macam komen, kenapa hari ini senyap? Apakah mereka jilat ludah sendiri?

"Dengan hapus benda (akta) ini, ia lahirkan masyarakat yang berani menegur, ini sangat terpesong jauh," katanya. - Malaysiakini