PASIR GUDANG: “Perlu tunggu lima tahun baru tahu apa penyakit anak saya dan ubat yang sesuai untuknya,” kata Nurul Ain Zakaria, 33, yang risau bayinya yang berusia dua bulan tidak diberi sebarang bantuan ubatan.
Bayinya, Nur Aurora Darmaya Amirul Amri disyaki mengalami kegagalan pernafasan dan mempunyai sindrom penyakit Hypotonia atau masalah otot lemah yang memerlukan perhatian, selain tiada bantuan ubatan berikutan usianya masih kecil.
Nurul Ain yang juga ibu tunggal berkata, dia berulang alik ke Hospital Sultan Ismail di sini, bagi menjalankan pemeriksaan fizikal termasuk pemantauan serangan sawan anaknya.
Katanya, doktor tidak dapat mengesahkan penyakit anaknya dan sebaik dilahirkan 9 Ogos lalu, dia terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Yang saya tahu ketika dilahirkan dengan berat 2.79 kilogram, dia lambat menangis dan badannya lembik selain tidak boleh bergerak sendiri.
“Selepas dipindahkan ke wad kuarantin, beratnya terus menurun. Doktor beritahu dia lahir tidak normal sehingga menyebabkan saya membawanya pulang.
“Anak saya tidak diberi ubat, jadi saya tidak mahu dia berada lama di situ. Ketika buat ujian mesin pengimbas Imej Resonan Magnetik (MRI), baru saya tahu struktur dalam otak dia tidak normal.
“Sekarang dia hanya menjalani rawatan fisioterapi setiap minggu. Anak pernah kena sawan ketika tidur sedangkan dia tidak demam.
“Ketika itu, dia mengalami sesak nafas selama tiga minit sehingga merisaukan saya,” katanya di rumah ibu bapanya di Taman Air Biru, semalam.
“Saya berharap orang ramai boleh memberi sumbangan untuk membeli susu dan lampin pakai buang, selain menyegerakan kos yang boleh membantunya pulih,” katanya.
Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Public Bank 6818759121 atas nama Nurul Ain Zakaria. - Harian Metro