Bukit Mertajam: Polis mohon kerjasama orang awam menyalurkan maklumat berhubung kemalangan langgar lari yang mengakibatkan seorang wanita maut di persimpangan lampu isyarat dekat Bukit Minyak, di sini, Ahad lalu.
Dalam kemalangan jam 6.30 petang itu, M Tanaletchumi, 49, yang membonceng motosikal ditunggang suaminya, V Ganesan, 52, dan anak mereka berusia 12 tahun tiba-tiba dilanggar sebuah kenderaan tidak dikenali.
Pelanggaran menyebabkan motosikal hilang kawalan dan menyebabkan tiga beranak berkenaan terjatuh di jalan.
Sumber berkata, tiga beranak itu dalam perjalanan dari Bukit Tambun ke Bukit Minyak dan baru bergerak sebaik lampu isyarat bertukar hijau sebelum dilanggar dan bergesel dengan sebuah kenderaan dari arah belakang.
“Tiga beranak berkenaan dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, Tanaletchumi dilaporkan meninggal dunia akibat parah di kepala manakala suaminya patah kaki kanan dan anaknya pula mengalami luka di tangan serta kaki,” katanya.
Siasatan mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang awam yang menyaksikan kemalangan terbabit diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Inspektor Noor Amirah Nor Azmi di talian 04-5301977 untuk membantu siasatan. - Harian Metro