Lagi Ramai Orang Islam Dalam Pusat Hiburan


KUALA LUMPUR: Kebimbangan tercetus apabila mendapati ada pengunjung pusat hiburan di ibu negara dipenuhi mereka yang beragama Islam.

Perkara itu dilihat menerusi Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops Bah) dalam serbuan di tiga premis di Jalan Imbi dan Jalan P Ramlee, di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk M Noor Azman Taib berkata, operasi bermula jam 1 pagi telah menyerbu pusat karaoke mewah dan mendapati lebih 90 peratus adalah terdiri daripada pengunjung beragama Islam.

"Di premis ini kita telah menemui banyak minuman keras dan pil disyaki dadah.

"Malah premis ini juga dikesan melanggari Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 yang mana kita telah mengambil tindakan terhadap kesalahan itu," katanya kepada pemberita, selepas selesai Ops Bah.

Beliau berkata, serbuan kedua membawa kepada premis perjudian berlesen dan mendapati ia beroperasi secara sah serta mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, kemudian premis ketiga iaitu sebuah pusat hiburan yang telah beroperasi sejak setahun lalu ini didapati telah tamat tempoh lesen hiburan.

"Malam ini, dianggarkan seramai 700 sehingga 800 pengunjung termasuk warga asing telah memenuhi premis ini," katanya.

Tegas beliau, terdapat pengunjung warga tempatan melibatkan mereka yang beragama Islam dan itu adalah amat membimbangkan kerana kemungkinan akan menyebabkan gejala sosial dan tidak mustahil boleh berlaku aktiviti tidak bermoral.

"Ada juga kelab malam yang ada pelancong asing dengan tarikan hiburan seperti nyanyian atau parti.

"Apa yang boleh ditekankan adalah usahlah mengunjungi tempat sebegini kerana banyak lagi tempat yang boleh dikunjungi. Tempat ini tidak sesuai untuk Muslim, kepada pengusaha sila ikut peraturan dan jangan timbulkan masalah," katanya. - Astro AWANI