Ernisha Beri Penjelasan, Bertengkar Dengan Datuk Syafinaz.


BAHARU sahaja diumumkan sebagai Top 12 Dewi Remaja 2018/19, nama Ernisha menjadi perbualan selepas sebuah klip video yang menyaksikan dia 'bertengkar' dengan Datuk Syafinaz Selamat diketahui ramai.

Bagaimanapun jelas pemilik nama sebenar Erni Nurshahira Khairul Nizam ini, dia sebenarnya tidak bertengkar ataupun mengamuk ketika itu dan semua itu hanyalah lakonan semata-mata.

"Ini adalah rancangan pihak produksi bersama saya dan Datuk Syafinaz sendiri mengetahui perancangan ini.

"Jadi saya harap semua orang jelas mengenai perkara ini dan tidak memperkatakannya lagi," katanya kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai penglibatannya dalam program Dewi Remaja yang mungkin memerlukan dia melalui 'drama' yang tidak terjangka, gadis berusia 23 tahun ini berkata, dia akan lebih berhati-hati meluahkan kemarahan dan hanya mahu menjadi dirinya sendiri.

"Saya tahu nama saya dah busuk sekarang dan bukan mudah untuk membersihkan nama. Cuma saya akan jadi diri sendiri sepanjang penglibatan dalam program ini nanti.

"Apa yang saya mahu buat adalah menonjolkan bakat pengacaraan, nyanyian dan lakonan saya sepanjang pertandingan ini nanti sebab saya tahu bukan mudah untuk berada dalam pertandingan seperti ini dan tampil berhijab," jelasnya.

Dalam pada itu, di sebalik kemunculannya ini, ramai yang menyamakan rupa Ernisha persis seperti juara Dewi Remaja 2009/10 iaitu Neelofa.

Bagaimanapun menurut Ernisha, dia tidak melihat dirinya cuba meniru gaya atau cuba menjadi seperti Neelofa, namun tidak menafikan mengambil sikap positif wanita berusia 29 tahun itu dalam menangani apa jua kontroversi.

"Mungkin orang lihat wajah kami sama, mungkin bila dah lihat banyak kali dah tak sama. Tapi saya tak pernah nak meniru gayanya.

"Cuma saya ambil sisi positif mengenai Neelofa dalam menangani apa jua masalah yang timbul," ujar gadia berasal dari Petaling Jaya ini.