Misteri Pembunuhan Kejam Dua Beradik


NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Dua adik beradik perempuan warga Arab Saudi ditemui mati di Sungai Hudson di New York.

Polis telah melancarkan siasatan susulan penemuan mayat Tala Farea, 16, dan Rotana Farea, 22, dalam keadaan terikat bersama dengan pita pelekat di bahagian barat Manhattan pada 24 Oktober lalu.

Menurut ibu kedua-dua mangsa, keluarga mereka telah diarahkan meninggalkan Amerika Syarikat oleh pegawai di Kedutaan Saudi di Washington sehari sebelum penemuan mayat tersebut.

Punca kematian tidak didedahkan dan mayat mereka ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dan saling menghadap antara satu sama lain.

Sementara itu, konsulat umum dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua mangsa adalah pelajar yang menemani abang mereka di Washington.

"Kami telah melantik peguam untuk mengikuti perkembangan kes tersebut dengan teliti dan akan sentiasa memberi sokongan bantuan dalam berdepan waktu sukar ini," jelasnya. - Sinar Harian