Pulangkan Suami Saya.


KOTA BHARU - Seorang ibu muda merayu agar suaminya yang didakwa menjadi mangsa culik lima lelaki di Jalan Pekeliling, Taman Maju setahun lalu dipulangkan.

Nur Azra Syazwani Abdullah, 25, berkata tiada berita diperolehi sehingga seorang anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun sering bertanyakan ke mana lelaki itu menghilang.

“Saya terpaksa memujuk anak mengatakan ayahnya pergi bekerja namun kehilangan berlarutan sehingga setahun tiga bulan. Saya mohon agar suami saya dilepaskan kerana kami amat merindukannya,” katanya.

Menceritakan kejadian itu, suaminya Mohamad Aiman Zafri, 25, hilang sejak 5 Julai tahun lalu. Katanya, ketika itu dia bersama suaminya baru pulang dari tempat kerja menaiki sebuah kereta Perodua Kancil.

“Kejadian itu berlaku pada jam 11 malam. Ketika dalam perjalanan, kami berhenti di sebuah kedai runcit di Taman Maju, tiba-tiba sebuah kereta jenis Kia berhenti di sebelah kereta kami dan turun tiga lelaki bersenjatakan kayu memaksa suami saya masuk ke kereta mereka.

“Saya nampak dua lagi lelaki berada dalam kereta. Suami digari dan sempat hubungi saya meninggalkan pesan supaya menelefon adik ipar untuk mengambil saya dan memberitahu dia dibawa ke Pekan Golok untuk bincang satu perkara,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Press House hari ini.

Wanita yang bekerja sebagai penyambut tetamu sebuah hotel itu kemudian membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada jam 12 tengah malam berhubung kejadian.

“Esoknya, seorang lelaki menggunakan nombor telefon Thailand menghubungi adik ipar meminta wang sebanyak RM50,000 sebagai tebusan jika mahu melihat suami selamat. Ketika itu, saya dengar suara suami menjerit kesakitan seperti dipukul.

“Mereka bersetuju mengurangkan nilai tebusan kepada RM20,000 dan menggunakan wang hantaran perkahwinan adik lelaki mangsa untuk pembayaran tebusan dan diarahkan meninggalkan wang tunai itu di sebuah perhentian bas di Batu Karang, Rantau Panjang pada jam 8 malam pada 14 Julai 2017,” katanya.

Menurutnya, setelah berbuat demikian, mereka diminta mengambil mangsa di Pengkalan Lubok, Rantau Panjang, namun setelah menunggu hingga jam 1 pagi kelibat mangsa tetap tidak kelihatan selain turut membayar RM2,000 ke dalam satu akaun bank seorang wanita pada 28 Julai 2017.

Katanya, suspek juga ada menghubungi lagi untuk mendapatkan baki wang tebusan sebanyak RM28,000 dan kali terakhir mendapat berita tentang mangsa pada 13 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, ibu mangsa, Wan Shariza Wan Zulkifli, 51, memohon agar anaknya itu dilepaskan dan dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.

“Saya mengetahui dia mempunyai hutang sebanyak RM20,000 tetapi pulangkanlah anak saya jangan seksa keluarga kami begini. Saya merayu sangat-sangat agar hantarlah dia pulang,” katanya. - Sinar Harian