Seorang ibu menyaman sebuah pusat jagaan dan pembelajaran baru-baru ini selepas dua guru didakwa mengadakan ‘program bergaduh’ dan menggalakkan murid bertumbuk antara satu sama lain.
Mail Online melaporkan, perbuatan tidak bermoral itu diketahui selepas Nicole Merseal melihat video pergaduhan yang dirakam oleh anak lelakinya yang merupakan murid di pusat jagaan tersebut.
Jelasnya, anaknya berusia 10 tahun itu merakamkan insiden berkenaan menggunakan iPadnya di Pusat Pembelajaran Adventure di Saint Louis, di sini.
Dalam video tersebut, kedengaran suara kanak-kanak sedang bergaduh antara satu sama lain dan ada juga yang menangis.
Satu lagi video pula menunjukkan seorang guru melompat-lompat memberi ‘semangat’ kepada kumpulan kanak-kanak itu untuk terus bergaduh dan bertumbuk.
Seorang kanak-kanak dilihat menumbuk muka dan menolak rakannya ketika murid-murid lain menyaksikan kejadian tersebut.
Dalam video tersebut, dapat dilihat juga seorang murid cuba meleraikan pergaduhan tersebut namun usahanya gagal.
Anak lelaki Merseal yang takut dengan kejadian itu segera memberitahu ibunya, selain memaklumkan adiknya yang berusia empat tahun menangis ketakutan.
Merseal menjelaskan bahawa anak-anaknya tidak tahu mengapa mereka disuruh bergaduh dengan rakan-rakan mereka.
Sesi pergaduhan tersebut berlangsung sekurang-kurangnya 30 minit.
Sehubungan itu, Merseal bertindak menghubungi pengarah pusat jagaan tersebut dan dua guru dipecat. - Utusan Online