Gadis Berusia 17 Tahun Menangis Diarah Masuk Pusat Pemulihan


REMAJA perempuan menangis teresak-esak selepas diarahkan memasuki pusat pemulihan akhlak Henry Gurney oleh Mahkamah Kanak-Kanak di Kota Kinabalu, hari ini.

Gadis berusia 17 tahun itu yang mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit dalam aktiviti persundalan terpaksa ditenangkan ibunya yang turut hadir pada perbicaraan berkenaan.

Majistret Stephanie Sharron Abbie membuat keputusan itu selepas mendengar laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diwakili Pegawai Akhlak, Ihsanuddin Mohd Yusup.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan, remaja terbabit ditahan pada 4 petang, 1 November lalu di sebuah pangsapuri di Kota Kinabalu oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7).

Remaja yang sudah tidak bersekolah sejak berusia 13 tahun itu didapati menawarkan khidmat seks dengan mencari pelanggan menggunakan aplikasi Wechat.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Suzie @ Stephanie Kupit. - Harian Metro