SEEKOR tupai lazimnya berwarna perang. Namun lain pula dengan tupai yang berjaya dirakam jurugambar dari United Kingdom ini.
Menurut laporan portal Daily Mail, jurugambar itu berjaya menangkap gambar seekor tupai albino.
Pencinta hidupan liar, Gary Fox, 50, berkata dia terserempak dengan tupai itu ketika sedang berjalan ke air pancut Water of Leigh di Edinburgh untuk mengambil gambar ikan.
“Sukar untuk saya melihat tupai itu pada waktu salji turun. Ia cuma berada di sekitar belakang rumah saya.
“Tapi apabila saya toleh ke satu penjuru, saya ternampak benda putih di bawah pokok. Lantas saya keluarkan kamera untuk menangkap gambar tupai albino itu,” kata Fox kepada wartawan Mail Online.
Fox mendakwa pernah melihat tupai albino tersebut di sekitar Terusan Union di Edinburgh, tetapi pada ketika itu dia tidak membawa kamera untuk menangkap gambar haiwan unik tersebut.
Albino atau albinisme berlaku disebabkan oleh mutasi dalam gen yang merubah kod pigmentasi.
Kadar kebarangkalian bagi tupai dilahirkan putih dikatakan satu dalam 100,000 ekor menjadikan haiwan itu sangat jarang ditemui.
Menurut pakar haiwan, tupai albino lebih senang diserang pemangsa kerana ia tidak mempunyai kebolehan penyamaran semulajadi. - Astro AWANI