Sebuah mahkamah Kuwait semalam menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas seorang ahli politik pembangkang kerana gagal memaklumkan isterinya, dia sudah diceraikan namun masih melakukan hubungan seks dengannya, kata peguam wanita itu.
Waleed al-Tabtabai, kini menetap di luar Kuwait, sudah berdepan hukuman penjara 42 bulan pada Julai lalu dalam kes lain menyerbu Parlimen dan menyerang polis.
Mahkamah rayuan semalam mengekalkan satu keputusan tahun lalu yang mendapatinya bersalah atas tuduhan berzina, kata peguam isterinya, Naser al-Otaibi, menambah keputusan itu bukan bermotif politik.
“Anak guam saya menerima keadilan selepas beliau diambil kesempatan dan diperdaya melakukan sesuatu yang salah mengikut undang-undang Syariah,” katanya.
Peguam itu berkata, anak guamnya hanya mendapat tahu, suaminya sudah menceraikannya pada 2017, setahun kemudian, selepas menyamannya kerana gagal memberi nafkah kepada dirinya dan anak mereka.
“Bukti ditunjukkan dan mereka meneruskan perkahwinan sepanjang perceraian, termasuk berkongsi gambar intim menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya.
Tabtabai ketika ini berada di luar Kuwait di tengah perbincangan kerajaan untuk menyingkirkannya daripada Parlimen. - Berita Harian Online