SULAWESI: Seorang saintis wanita dilapor maut selepas dibaham oleh seekor buaya peliharaan di kediamannya di Sulawesi Indonesia.
Deasy Tuwo, ketua sebuah makmal menternak mutiara, di Minahasa, Utara Sulawesi, dipercayai diterkam oleh buaya sepanjang 14 kaki itu (4.4 meter) pada Khamis lalu , kata pihak berkuasa.
Menurut jurucakap sebuah agensi pemuliharaan, Hendrik Rundengan, tubuh wanita berusia 44 tahun itu ditemui dalam keadaan parah oleh rakan setugasnya pada pagi keesokan harinya.
“Kelihatannya seperti mangsa terjatuh ke dalam kolam buaya,” katanya yang memaklumkan punca sebenar kejadian sedang disiasat oleh pihak polis.
Buaya bernama Merry itu, dikatakan telah membaham sebelah tangan wanita itu dengan bahagian perutnya turut hilang, kata Rundengan lagi.
Ia dipercayai masih berada dalam tubuh buaya itu.
Buaya besar itu kemudiannya ditenangkan dengan ubat pelali dan dibawa keluar dari kawasan peliharaannya.
Indonesia sememangya tidak asing dengan kehadiran buaya yang sering menyerang dan membunuh penduduk.
Pada 2016, seorang pelancong Rusia maut dibaham buaya di pulau Raja Ampat, sebuah kawasan yang terkenal untuk penyelaman skuba. - Astro AWANI