Nazri Biadap, Punca BN Kalah PRU Lepas - MCA


BERIKUT ialah kenyataan Persatuan Cina Malaysia (MCA) berhubung gesaan Datuk Seri Nazri Aziz untuk menutup SJKC/SJKT:

MCA terpanggil untuk membalas kenyataan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang dianggap “biadap, penuh dengan ego dan tidak matang.”

Sejak bila BN mengamalkan polisi/dasar menutup SJKC dan SJKT? Bukankah Akta Pelajaran 1961 telah dipinda di zaman Datuk Seri Najib Razak yang mana seksyen 21(2) telah dimansuhkan dan kedudukan SJKC dan SJKT terjamin di bawah Akta Pendidikan 1996?

Mari kita bersama-sama mengimbas kembali kejatuhan kerajaan BN dalam PRU lepas. Tidak dinafikan kelemahan diri semua parti komponen BN menyumbang kepada kekalahan yang mana kita semua perlu muhasabah dan memperbaiki kelemahan kita sendiri.

Selain daripada permainan persepsi dan retorik politik yang dibawa oleh Pakatan Harapan pada masa itu menjadi punca utama tumbangnya Kerajaan BN yang telah diberi mandat oleh rakyat lebih daripada 60 tahun, faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada kejatuhan kerajaan BN adalah pemimpin-pemimpinnya yang angkuh, biadap, sombong dan selalu "syok sendiri."

Nazri Aziz adalah di antara nama-nama pemimpin BN yang tersenarai dalam golongan pemimpin biadap dan angkuh.

Rakyat Malaysia pasti ingat, Nazri Aziz dengan mulut celuparnya telah memaki hamun tokoh perniagaan terkemuka Robert Kuok sehingga perkataan “pondan dan anjing” pun diungkapkan daripada mulut beliau.

Bak kata pepatah orang Putih: "One rotten apple certainly spoils the whole barrel."

Sebab mulut badan binasa, sebab mulut ramai terasa, sebab mulutlah kita yang jadi mangsa.

Disebabkan oleh kenyataan Nazri yang berbaur perkauman, provokatif dan tidak bertanggungjawab, kami dalam BN pula yang kena.

Usah tanya kenapa majoriti rakyat Malaysia tidak lagi menyokong BN, kerana Nazri Aziz adalah antara penyebabnya.

Usah tanya kenapa BN perlu dirombak, reform atau dibubarkan, kerana nama baik BN telahpun dicemari oleh pemimpin-pemimpin yang rasis, ekstrem dan ego, seperti Nazri Aziz.

Selepas insiden Robert Kuok, Nazri Aziz bukan sahaja enggan memohon maaf, malah beliau sengaja memakai baju hitam ketika hadir sebagai Menteri Peneraju Sambutan Tahun Baru Cina 2018 di Kedah yang mana ianya merupakan pantang larang kaum Cina menjelang Tahun Baru Cina.

Apakah ini menambah sokongan orang Cina terhadap BN. Yang pasti, kaum Cina mendengki BN kerana perbuatan Nazri.

Jangan lupa BN yang dahulunya Parti Perikatan diasaskan bersama oleh UMNO, MCA dan MIC, dan disertai oleh parti-parti komponen lain yang sehaluan dalam perjuangan kita apabila BN dibentuk pada tahun 1974.

Pendek kata BN bukan milik UMNO sahaja, ianya juga adalah hasil perjuangan kolektif UMNO, MCA dan MIC.

Ia langsung bukan milik mutlak Nazri Aziz. BN, sebaliknya milik kami semua yang saling hormat-menghormati serta sayang antara sama lain atas nama Semangat BN.

Tidak kira sama ada MCA akan terus bekerjasama dengan UMNO atas semangat solidariti pembangkang, ataupun tidak lagi menganggotai BN secara “coalition” tetapi mengekalkan tali persahabatan akrab antara UMNO, MCA dan MIC; ataupun kemungkinan lain yang bakal dipersetujui bersama, perkara ini akan diperincikan serta dibincang secara mendalam dan dimuktamadkan di peringkat Dewan Tertinggi BN.

Akan tetapi, sikap kebiadapan YB Nazri Aziz yang bagaikan musuh dalam selimut tidak patut dipandang remeh.

Ia patut ditegur dan dibendung oleh partinya UMNO dan Nazri Aziz tidak sesuai dan tidak layak memegang jawatan Setiausaha Agung BN, lebih-lebih lagi beliau mempunyai rekod buruk membodek dan mengagung-agungkan pemimpin-pemimpin DAP serta memperlekeh parti komponen BN.

Biarlah hubungan mesra Nazri ini berkekalan dengan DAP atau PKR, jika itu kecenderungannya. Yang pasti kita tidak mahu musuh dalam selimut.

Kepada rakan-rakan pimpinan UMNO, jangan sampai hanya nila setitik, rosak susu sebelanga. Ambillah tindakan yang sewajarnya terhadap Nazri.

Sekiranya tiada sebarang tindakan tegas diambil oleh pimpinan UMNO atau BN dan Nazri masih kekal sebagai Setiausaha Agung BN selepas ini, maka ia pasti menjejaskan hubungan akrab UMNO, MCA dan MIC yang terjalin kian lama.

Maka, Nazri tidak boleh terlepas dari tindakan pemecatan jawatannya di dalam BN. - Astro AWANI

Datin Paduka Chew Mei Fun
Setiausaha Agung MCA