Pergaduhan Suami Isteri Bertuka Tragedi, Isteri Meninggal Dunia


SHAH ALAM - Perbalahan sepasang suami isteri yang berlarutan sejak lapan tahun lalu berakhir tragedi apabila si isteri meninggal dunia, awal pagi semalam.

Semuanya selepas 10 hari menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat melecur pada tangan dan kaki gara-gara pergaduhan dengan suami 7 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian sekitar jam 9 malam itu, mangsa, Rosnani Samsudin, 44, dipercayai bertengkar dengan suaminya, seorang pemandu lori berusia 41 tahun di rumah mereka di Bukit Naga, di sini.

Menurutnya, siasatan mendapati, pada awalnya suami mangsa mengugut mahu membakar rumah dengan menyimbah petrol pada satu kayu palet dan membakarnya dengan pemetik api.

Sofa yang turut terbakar dalam kejadian 7 Februari itu.

“Api itu berjaya dipadamkan mangsa sebelum merampas bekas petrol terbabit dan mencurahkan ke badannya sendiri. Mangsa mengatakan jika mahu bakar rumah, bakar dirinya sekali.

“Suspek yang berang dengan tindakan mangsa kemudian dengan niat mahu mengacahnya dengan menyalakan api dari pemetik api, malangnya api menyambar tudung mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Baharudin berkata, mangsa berguling di lantai dan meminta tolong, suspek berjaya memadamkan api berkenaan.

“Ibu mentua dan adik lelaki suspek yang tinggal bersebelahan datang ke rumahnya apabila terdengar jeritan mangsa dan membantu memadamkan api serta menghantar mangsa dan suspek ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

“Kes awalnya disiasat mengikut Seksyen 307/309 Kanun Keseksaan kemudiannya diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan selepas mangsa meninggal dunia,” katanya.

Suspek ditahan selepas menyerah diri dan direman sehingga Khamis ini untuk siasatan selanjutnya. - Sinar Harian