Susu Permintaan Terakhir Qaisarah Sebelum Tertusuk Pisau


PARIT BUNTAR: Seorang kanak-kanak perempuan dari Kampung Teluk Pial Baroh, Kuala Kurau, di sini maut dipercayai akibat tertusuk pisau.

Dalam kejadian pada Ahad itu, mangsa yang dikenali sebagai Nur Qaisarah Medina Sufian, 2 tahun, dikatakan tertusuk pisau di bahagian perut ketika berada di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Suprintendan Omar Bakhtiar Yaacob mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat.

Menurut ibu mangsa, Hana Mazlan, 27, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi tadi, dia sedang tidurkan anak bongsunya di ruang dapur rumah sebelum didatangi mangsa yang mahu minum susu.

"Semasa minta susu saya cakap dekat dia tunggu sekejap saya tengah buai anak bongsu. Dia (mangsa) kemudian pegi ke neneknya yang juga berada di bahagian dapur sebelum terpijak pinggan.

"Dia kemudian jatuh atas pinggan itu sebelum pisau yang berada di atas pinggan tertusuk di bahagian kiri perut. Pisau itu anak saya yang sulung guna untuk potong buah mempelam, saya tak tahu pisau itu ada di situ," kata ibu kepada lima anak itu seperti yang dipetik Bernama.

Hana berkata dia terus memangku mangsa yang tiba-tiba menangis serta mengosok-gosok badan anaknya sebelum menyedari pisau sepanjang 15 sentimeter itu telah tertusuk di bahagian perutnya.

Mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri selepas pisau itu ditarik ibu mertuanya.

Anaknya itu kemudian dibawa ke klinik sebelum dirujuk ke Hospital Parit Buntar dan disahkan meninggal dunia.

Menurut polis, kes tersebut masih dalam siasatan dan pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada pegawai penyiasat mengenai kejadian itu.