LELAKI maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan bertembung dengan treler di Jalan Tetembok, Georgetown, hari ini.
Dalam kejadian 6.42 pagi itu, mangsa Mohammad Akif Aiman Abdul Malek, 20 berasal dari Kupang, Kedah meninggal dunia di lokasi kejadian selepas parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan awal mendapati motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
“Ketika itu sebuah treler membawa muatan pembinaan dalam perjalanan dari Lumut, Perak menuju ke Air Itam.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa tidak dapat mengawal motosikalnya yang masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan treler,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan polis juga sudah menghubungi waris mangsa.
“Kita juga sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca sebenar kemalangan itu berlaku.
“Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Kemalangan itu menyebabkan kesesakan teruk hampir tiga jam di kedua-dua laluan kerana ia berlaku ketika orang ramai dalam perjalanan ke tempat kerja.
Selain itu, laluan terbabit adalah terowong dan ia sebenarnya tidak boleh dilalui motosikal. - Harian Metro