Hukum Rejam Sampai Mati Untuk Penzina Dan LGBT Bermula 3 April Depan


Hukuman rejam sampai mati untuk zina dan seks sejenis di Brunei akan bermula 3 April iaitu Rabu depan, kata pihak berkuasa negara itu.

Hukuman itu hanya akan dikenakan kepada mereka yang beragama Islam, mengikut undang-undang syariah yang digubal empat tahun lalu tetapi ditangguh pelaksanaannya, menurut laporan agensi berita AFP.

Perkara itu dinyatakan notis Pejabat Peguam Negara Brunei bertarikh 29 Disember 2018 dan jurucakap Kementerian Hal Ehwal Agama memaklumkan Sultan Hassanal Bolkiah dijangka mengumumkannya pada 3 April ini.

Menurut laporan itu lagi, hukuman potong tangan atau kaki bagi kesalahan mencuri juga akan turut dilaksanakan.

Kesalahan mencuri pertama melibatkan tangan kanan dan kesalahan kedua kaki kiri, kata laporan itu lagi.

Semalam, badan hak asasi Amnesty International menggesa negara itu "segera menghentikan" pelaksanaan hukuman baru itu dengan menyifatkannya sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan. - Malaysiakini