Love Bites Di Leher Bongkar Rahsia Remaja 16 Tahun Dirogol 5 Lelaki



ISKANDAR PUTERI - Polis menahan lima lelaki bagi membantu siasatan kes rogol seorang gadis bawah umur di sebuah rumah di Kangkar Pulai, di sini.

Kelima-lima terdiri daripada tiga pelajar sekolah, seorang penganggur dan penjual air mineral berusia antara 16 hingga 20 tahun ditahan anggota Balai Polis Kangkar Pulai kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Tangkapan dibuat susulan laporan polis dibuat remaja perempuan berusia 16 tahun selepas ibunya mengesan tanda seperti gigitan di lehernya lalu memintanya menceritakan kejadian sebenar.

Difahamkan, remaja perempuan yang juga anak tunggal itu hanya tinggal bersama ibunya selepas kematian ayah dan kejadian terbabit dilakukan atas kerelaannya ketika ibunya tiada di rumah.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan awal mendapati remaja perempuan itu sudah mula melakukan hubungan seks dengan semua suspek selepas tamat peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada Oktober tahun lalu.

"Tahun lalu, seorang suspek yang juga kawan lelaki remaja berkenaan bersama dua sepupunya mengambil dan menghantarnya pulang ke rumah di Kangkar Pulai, di sini.

"Mereka mengajak remaja terbabit melakukan hubungan seks dan ia berlaku dengan kerelaan hati remaja itu. Sejak dari itu, dia melakukan hubungan seks dengan dua lagi lelaki yang kesemuanya seramai lima orang," katanya.

Menurutnya, kali terakhir remaja itu melakukan hubungan seks dengan dua daripada lima suspek iaitu kira-kira jam 2.30 petang, Jumaat lalu.

"Bagaimanapun, ibunya mengesan terdapat tanda gigitan di leher anaknya kira-kira 1 petang keesokan harinya sebelum mengetahui kejadian sebenar dan meminta anaknya membuat laporan polis," katanya.

"Kita turut merampas tiga telefon bimbit ketika menahan mereka dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.

Dzulkhairi berkata, lima suspek lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis. - Sinar Harian