Zamani Dan Juliana Bakal Bertunang


Penyanyi Zamani Slam nekad akan mengakhiri zaman bujang selepas merujuk seorang ustaz mengenai masa depannya.

Dia yang membuat pengumuman mengejut itu berkata, ustaz berkenaan juga menasihatinya agar tidak membuat seseorang menungu begitu lama.

“Ustaz itu menasihatkan saya, tidak baik untuk membiarkan gadis berkenaan menunggu terlalu lama.

“Dia turut menasihatkan, yang mana boleh dibaiki, saya kenalah baiki,” katanya dipetik Harian Metro.

Pada 15 Jun lalu Zamani menyambut saranan itu dengan membuat pengumuman bahawa dia akan bertunang.

Zamani atau nama penuhnya Zamani Ibrahim, 48, berkata dia bertemu ustaz berkenaan selama dua minggu atas urusan peribadi di Kedah.

“Kesempatan bertemunya itulah, saya menjelaskan sudah lama berkawan dengan seorang gadis dan minta pendapatnya.

“Sudah lama saya berhasrat nak tamatkan zaman bujang dan bergelar suami kepada Juliana tetapi belum ada keyakinan cukup kuat.

“Alhamdulillah, kata-kata ustaz terbabit benar-benar meresap dan memberi kesedaran kepada saya untuk bertekad melakukannya (berkahwin),” katanya.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Gerimis Mengundang itu enggan mendedahkan tarikh rasmi pertunangannya. Katanya ia akan diumumkan pada waktu yang dirasakan sesuai.

Wanita ingin dikahwini itu merupakan pembantu peribadi Zamani, bernama Juliana atau turut dikenali sebagai Julie.

Menurut Zamani, Julie sering memberikan sokongan sewaktu dia bertanding dalam program Gegar Vaganza 5.

Dia juga antara individu yang kuat memberikan kata-kata semangat apabila Zamani berdepan masalah dalam kariernya. - Malaysiakini