Budak Lelaki Berusia 12 Tahun Hampir Kehilangan Alat Sulit Akibat Gurauan Melampau Rakan


Gurauan melampaui batas menyebabkan rakan yang dikenakan mengalami kesengsaraan sehingga hampir kehilangan alat sulitnya, keseronokan sekejap tetapi sengsara yang ditanggung mungkin seumur hidup.

Kejadian yang dikatakan berlaku di England itu seorang budak lelaki hampir kehilangan alat sulitnya selepas ditumbuk di pangkal paha oleh rakan sekolah apabila trend gurauan kasar tersebut bertukar menjadi tragedi buatnya.

Bailey Summers, 12, dikejarkan ke hospital dan terpaksa menjalani pembedahan kecemasan untuk menyelamatkan testikelnya daripada dibuang, lapor portal Mirror.

Insiden tragis ini bermula daripada prank klasik 'popular' di mana pelaku akan bertanya kepada mangsa, "Apakah ibu negara Thailand?" Apabila mangsa menjawab "Bangkok" (bang-cock), alat sulitnya akan dipukul.

Kebiasaannya, pelaku hanya akan memukul secara 'perlahan' di bahagian sulit, namun dalam insiden kali ini, mangsa dikatakan dipukul dengan kuat sehingga menyebabkan Bailey terpaksa menahan kesakitan.

Bailey dilaporkan pulang membawa ubat tahan sakit paracetamol, namun apabila kesakitannya itu tidak juga reda, ibunya Emmajayne, 32 akhirnya terus membawa Bailey ke hospital.

Keadaan bertambah buruk, apabila doktor di Hospital Universiti James Cook meminta Emmajayne untuk menandatangani borang kebenaran pembedahan untuk membuang testikel anaknya itu jika terpaksa.

Bercakap kepada media antarabangsa, Emmajayne berkata anaknya menderita kesakitan hampir 20 minit ketika bersiap masuk ke bilik bedah.

"Pihak hospital tidak dapat memberikan ubat bius yang betul kepada anak saya dan mereka tidak mempunyai banyak masa.

"Hancur hati saya melihat anak saya menangis menjerit dan merayu meminta saya untuk membantunya," kata Emmajayne kepada media.

Menurut Emmajayne lagi, pakar bedah memerlukan masa lebih kurang empat jam untuk merawat testikel Bailey, namun terpaksa membuangnya jika keadaan memaksa.

"Saya terpaksa menandatangani borang tersebut untuk membenarkan kedua-dua testikel anak saya dibuang jika terpaksa," katanya.

Dilaporkan pembedahan itu berjaya dan Bailey sudah boleh bergerak menggunakan kerusi roda.

"Dia sangat bernasib baik. Dia terpaksa menerima empat jahitan pada setiap testikel.

"Buat masa ini dia hanya boleh berkerusi roda selama dua minggu dan tidak boleh melakukan aktiviti berat selama enam minggu," kata Emmajayne.

Emmajayne turut meminta agar orang ramai menghentikan gurauan kasar tersebut yang hanya akan memudaratkan seseorang.