Walaupun AC Mizal menyifatkan Elly Mazlein sebagai “kereta terpakai” dalam lawak jenakanya, ibu tunggal kepada seorang cahaya mata itu berkata isu berkenaan bukanlah sesuatu yang perlu diperbesarkan.
Justeru, Elly - yang turut diundang mengendalikan progam sama - meminta agar peminatnya tidak terus berkecil hati dengan sikap dipamerkan AC.
“Jangan sensitif sangat, kita chill, chill, sejuk ya,” katanya.
AC mengeluarkan kenyataan tersebut sewaktu dua pengacara itu duduk dalam barisan kerusi bersama Zizan Razak, Mira Filzah, Syafiq Kyle dan Siti Nordiana Pusat Konvensyen Antabangsa, Putrajaya malam tadi.
Pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu memuat naik kenyataan tersebut sambil mengiringi status berkenaan dengan sebuah klip video di akaun Instagaram miliknya.
Ia respons kepada peminat yang sebelum itu ‘panas’ di media sosial kerana niat AC untuk bergurau dianggap keterlaluan apabila pelakon filem Buli itu melabelkan Elly sebagai used car.
"Menggelar janda sebagai used car memang tak patut dan wajib dikecam. Ia tak kelakar la bro,” kata pengguna akaun Pak Lah Real Estate REN.
“Kak Lina Pom Pom kelakar. Tapi bukan AC. Tak kelakar. Dia cakap menyakitkan hati. Pandang rendah pada wanita. Ini bukan kali pertama. Awak patut malu," kata pengguna akaun @Ismimarini.
Sementara itu, Elly dipetik Harian Metro berkata, dia ada meminta pandangan bakal suaminya berhubung perkara berkenaan.
"Dia sangat memahami. Bakal suami menyerahkan sepenuhnya untuk saya mengulas," katanya.
Mengulas lanjut, kata Elly, 38, diusik sebagai kereta terpakai sukar diterima tetapi semua manusia tidak sempurna.
"Saya anggap mungkin Datuk AC terlepas cakap.
"Saya harap selepas ini hargailah dan jagalah martabat serta aib wanita," katanya. - Malaysiakini