SHAH ALAM: Menjelang hujung tahun ini, usahawan kelahiran Malaysia yang sangat dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low dijangka dibawa pulang ke tanah air.
Bayangan itu diberikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang yakin dengan kerjasama yang dijalin dengan Polis Antarabangsa (Interpol).
Bahkan, selepas mengeluarkan notis merah serta memberikan tekanan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) optimis akan menemui kejayaan membawa Jho Low ke muka pengadilan.
Abdul Hamid dalam masa sama mengesahkan, Jho Low yang dikaitkan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilindungi di sebuah negara.
Menurut beliau, siasatan polis berjaya mengesan di mana lokasi Jho Low dan pengikutnya berada.
Bagaimanapun, PDRM, kata Abdul Hamid, masih mengadakan rundingan bersama pihak berkenaan untuk mengekstradisi ahli perniagaan itu.
"Saya yakin berdasarkan siasatan, dia seolah-olah mendapat perlindungan sesuatu pihak untuk terus bersembunyi disebuah negara dan maklumat yang saya terima dia bebas bergerak ke sana ke mari seolah-olah dia menjalankan peniagaan tanpa apa apa sekatan.
"Begitu juga dengan empat hingga lima orang pengikutnya... sebenarnya pihak kami tahu dimana mereka dan kita berunding dan proses perundingan ini kadang kala sukar.
"Tetapi saya sabar tingkatkan usaha saya, kerana saya nampak dia di mana dan saya tahu dia di mana. Ketika ini saya tengah memberikan beberapa pandangan yang tegas kepada pihak yang melindunginya," jelas Abdul Hamid.
Beliau berkata demikian dalam sesi Bicara Minda Sinar Harian yang dikendalikan oleh Tan Sri Johan Jaafar di Auditorium Kompleks Karangkraf di Shah Alam pada Rabu.
Meskipun enggan mengulas nama negara berkenaan, namun Abdul Hamid mengakui, Malaysia mempunyai jalinan ekstradisi dengan negara terbabit. - Astro AWANI