LENDU - Gambar seekor anjing sedang tidur nyenyak di atas katil di kolej kediaman sebuah universiti di Melaka yang dimuat naik pengguna Twitter, Mohd Khuzairi Naim menarik perhatian netizen sehingga meraih 15,700 ulang kicau dan 8,400 tanda suka.
Mohd Khuzairi yang juga bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau berkata, dia menerima gambar berkenaan yang dikongsi rakannya melalui aplikasi IMessage.
Mohd Khuzairi Naim ketika dihubungi Sinar Harian berkata, gambar berkenaan sebenarnya dihantar rakannya bertujuan menyakat dirinya.
"Memang saya kelam kabut ketika menerima gambar itu dan menyuruh rakan, Farique Soleh memanggil jawatankuasa pelajar kolej kediaman (JPKK) untuk membantu menghalau anjing berkenaan," katanya.
Menurutnya, dia pelik apabila rakannya tidak menunjukkan rasa cemas malah bersimpati terhadap anjing tersebut.
"Ketika dia menghantar gambar kepada saya kira-kira jam 3.30 petang Selasa lalu, saya terkejut kerana seekor anjing boleh tidur lena di atas katilnya.
"Saya kelam kabut dan menyuruhnya samak tetapi dia tetap kasihankan anjing itu," katanya
Bagaimanapun, rakannya itu kemudian mendedahkan perkara sebenar bahawa gambar anjing tersebut telah disunting menggunakan aplikasi di Instagram yang berniat hanya untuk bergurau.
"Pada awalnya saya tak jangka gambar itu diedit (sunting) sebab nampak ada kedut di atas katil seolah-olah memang ada anjing itu duduk.
"Rupanya dia saja nak kenakan saya sebab dia tahu saya seorang yang cepat gelisah, namun saya tidak berkecil hati kerana dia memang suka bergurau. Lagipun dia memang pandai edit gambar kerana belajar jurusan grafik," katanya.
Hantaran itu turut mendapat komen daripada netizen antaranya Ecah menulis, "Member punya cuak kalah tuan punya katil...last last edit." - Sinar Harian