Ibu Bersubahat Rahsiakan Kejadian


DUNGUN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dipercayai didera bapa tirinya apabila dipukul tanpa sebab dalam kejadian di daerah ini.

Perbuatan suspek berusia 29 tahun terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada bapa kandungnya berusia 34 tahun dengan kejadian terbaharu berlaku kira-kira jam 11 malam, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata mangsa memaklumkan suspek bertindak menampar dan menarik rambutnya sebelum kepalanya dihantuk pada pintu bilik ketika dia berada di dalam bilik.

Beliau berkata, mangsa mendakwa kejadian itu hanya disedari ibunya selepas mendengar mangsa menangis namun wanita terbabit dikatakan tidak membenarkan mangsa menceritakan hal itu kepada bapa mangsa yang juga bekas suaminya.

“Namun mangsa yang mengalami sakit dan bengkak pipi kiri, luka pada bibir dan telinga berdengung menceritakan perbuatan suspek kepada bapanya sebelum laporan dibuat di Balai Polis Dungun pada Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Baharudin berkata, mangsa mendakwa sering dipukul tanpa sebab atau hal kecil dengan kejadian itu sudah berlaku sejak mangsa berusia lapan tahun.

Siasatan awal mendapati ibu bapa mangsa sudah bercerai pada 2009 dan mangsa yang juga anak tunggal pasangan itu tinggal bersama ibu serta suspek.

“Bapa mangsa memaklumkan sebelum ini anaknya pernah memaklumkan dipukul suspek namun tidak membuat laporan polis kerana menyangka kejadian itu tidak berlarutan.

“Susulan laporan diterima, suspek yang bekerja sendiri berjaya ditahan dan hasil siasatan awal suspek mengaku memukul anak tirinya kerana mendakwa mangsa tidak mendengar cakap dan banyak bermain.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. - Berita Harian Online