Kedah - Gempar apabila IKBN NAKA telah diserbu oleh pasukan keselamatan dari unit Komando VAT69 Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kerana disyaki menjadi tempat persembunyian pengganas yang menyembunyikan diri.
Serbuan tersebut telah dibuat pada 23 Mei pukul 1.45pagi di kawasan asrama lelaki IKBN Naka di Kuala Nerang Kedah, serbuan tersebut telah dibuat hasil intipan yang telah dilakukan selama beberapa hari kerana disyaki menjadi tempat persembunyian "pengganas".
Serbuan yang dilakukan pada awal pagi itu ternyata amat mengejutkan penghuni asrama lelaki yang ketika itu sedang tidur lena ketika serbuan terbabit dilakukan.
Beberapa das tembakan telah dilepaskan dan hasil serbuan terbabit, "pengganas" yang disyaki telah bersembunyi di sekitar IKBN Naka akhirnya berjaya ditumpaskan, maka tepat jam 2.37 pagi berakhirlah latihan pasukan anti pengganas yang telah dilaksanakan di IKBN Naka.
Menurut DSP Tuan Victor Cardona, Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Kursus Counter Terrorist Team (CTT) dianjurkan pada tahun ini yang berlangsung dari 19 hingga 23 Mei 2019.
Program ini merupakan kursus tahunan yang dianjurkan oleh pasukan Komando VAT69 Skuadron Delta Polis DiRaja Malaysia Markas Komando 69 Ulu Kinta, Perak adalah bertujuan memberikan latihan bagi mempersiapkan anggota dalam menghadapi sebarang kemungkinan serangan pengganas yang dilakukan dalam pelbagai situasi.
Pada tahun ini sahaja seramai 64 orang anggota Komando VAT69 yang telah menyertai kursus ini dan kawasan sekitar Naka termasuklah IKBN Naka yang turut dijadikan sebagai kawasan tempat latihan.
Pengalaman tersebut telah dikongsikan oleh pihak IKBN Naka yang dimuatnaikkan di laman Facebook mereka, malah turut hadir menyaksikan latihan tersebut dijalankan adalah Tuan Pengarah Mohd Ridzuan Bin Wan Abdullah Zawawi serta beberapa kakitangan IKBN Naka yang lain.
Latihan tersebut berjalan dengan lancar dan ianya memberikan satu pengalaman yang berharga buat warga IKBN yang merasai sendiri detik-detik yang mencemaskan jika kejadian tersebut berlaku.